.... Pembangkang selesai agih kerusi DUN Selangor | AAKJ



SHAH ALAM: Gabungan parti pembangkang mengumumkan sudah memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata persetujuan dicapai dan gerak kerja pilihan raya sudah dimulakan.
"Kita akan memberi fokus terhadap gerak kerja pilihan raya dan memantapkan jentera serta meletakkan calon komited untuk berkhidmat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan bersama Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua; Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Izham Hashim dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor yang digantung sementara, Datuk Abdul Rashid Asari, itu tidak menyatakan pecahan kerusi setiap parti.
Malam tadi, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, dilaporkan berkata, partinya bertanding di 10 kerusi DUN Selangor termasuk di Hulu Kelang, Morib dan Cempaka.
Pada PRU-13, DAP dan PAS masing-masing memenangi 15 kerusi DUN Selangor, 14 kerusi dimenangi PKR manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 12 kerusi.
Bagaimanapun, selepas penubuhan PAN yang disertai dua bekas wakil rakyat PAS, parti itu kini mempunyai dua kerusi.
Pada masa sama, PKR kehilangan satu kerusi DUN iaitu di Pelabuhan Klang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat dan menjadi wakil rakyat bebas.
DAP turut kehilangan kerusi selepas seorang wakil rakyatnya di DUN Teluk Datuk, Loh Chee Heng dipecat.

-Oleh Rafidah Mat Ruzki

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top