Menu

Najib sindir Mahathir isu The Loaf tutup
TELUK INTAN 18 April - Kerajaan berjaya mengurus ekonomi negara dengan baik yang membolehkan banyak perniagaan termasuk penjualan roti dan mi sekalipun semakin maju, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam sindirannya berhubung isu kedai roti premium The Loaf milik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri berkata, ekonomi berkembang kerana kedai roti lain tidak tutup seperti yang dialami The Loaf.
Malah Najib percaya kerana ekonomi negara yang baik, perniagaan mi rebus terkenal di bandar Teluk Intan di sini, Mi Mastan Ghani juga semakin maju.

“Kedai roti lain tak tutup, malah maju seperti Roti Boy, Gardenia malah saya percaya yang jual mi rebus di sini iaitu Mastan Ghani pun berniaga maju.


“Kalau tutup kedai pun nak salah kerajaan juga kah? Mungkin kedai tersebut (The Loaf) tak sesuai, mungkin rotinya tak sedap atau kosnya yang mungkin tinggi atau banyak sebab lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Teluk Intan di Jalan Changkat Jong di sini hari ini.
Mahathir mendakwa kedai roti premium The Loaf milik pemimpin politik berusia 93 tahun itu tidak akan ditutup jika ekonomi negara baik dan tidak ditadbir oleh Najib. - UTUSAN ONLINE




 
Top