Ini apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan janji manifesto BN termasuk penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mencemaskan gabungan itu tidak melanggar undang-undang atau peraturan walaupun diumumkan dalam tempoh kerajaan sementara.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pengumuman insentif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada golongan sasar itu tidak menyalahi mana-mana peraturan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Kata beliau, lagi pun sejak Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu, Najib masih menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri di bawah bidang kuasa sebagai kerajaan sementara.
“Mana-mana pemimpin sama ada daripada kerajaan Persekutuan atau negeri ketika ini sedang menjalankan tanggungjawab di bawah bidang kuasa mereka sebagai kerajaan sementara.
“Ini bermakna sebarang pengumuman dan insentif yang dibuat oleh mereka ketika ini tidak boleh dianggap sebagai perbuatan rasuah selain tidak menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan peguam kepada bekas Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap SPRM supaya menyiasat Perdana Menteri kerana mengumumkan pelbagai inisiatif sepanjang tempoh Parlimen dibubarkan.
Gesaan tersebut bagaimanapun bukan sahaja bermotifkan politik malah seperti telunjuk lurus kelengkeng berkait apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri secara terang-terangan menyampaikan pelbagai bentuk bantuan termasuk komputer kepada penduduk di kawasan beliau.
Malah Azmin sendiri tidak konsisten dalam hal tersebut kerana sebelum ini, beliau bukan sahaja mendabik dada bergambar menyerahkan kunci kenderaan rasmi kerajaan negeri bahkan mempersoalkan janji penambahan BR1M kerana dalam tempoh kerajaan sementara ketika ini.
Sementara itu, Azam berkata, buat masa ini kesemua pengumuman yang dibuat oleh pemimpin kerajaan sementara sama ada secara langsung atau sebaliknya, tidak boleh dibuktikan cuba mempengaruhi atau meraih undi masyarakat.
Ini kerana katanya, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya, pemberian dan penawaran sesuatu yang bertujuan mempengaruhi dan meraih undi pada hari pengundian perlu dibuktikan.
“Jika ada, baru boleh dianggap sebagai rasuah dan melanggar Akta SPRM dan Akta Pilihan Raya,” katanya. - UTUSAN ONLINE