Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pembubaran sementara itu juga adalah atas kehendak ahli parti itu sendiri yang telah membuat aduan kepada ROS kerana tidak berpuas hati dengan cara pimpinannya mentadbir parti berkenaan.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, PPBM tidak seharusnya berterusan menyalahkan orang lain termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas sebab-sebab arahan pembubaran sementara tersebut yang sebenarnya berpunca dari tindak tanduk mereka sendiri.
“Tidak ada minit mesyuarat agung yang betul, tidak ada penyata kewangan tapi diuar-uarkan di luar bukan main hebat lagi. Sedangkan rumah mereka (PPBM) ini sebenarnya berserabut. Macam mana nak bertanding pada pilihan raya.
“Memang saya sudah agak, parti bunga (PPBM) itu tidak boleh berkembang dan akan layu kerana berada di kawasan asing yang mana dalam barisan pembangkang di ketuai DAP, DAP parti dominan.
“Jadi apa juga agenda mereka (PPBM) tidak akan dapat buat sebaliknya mereka terpaksa ikut dan akur cakap dia (DAP). Tengok Pas dulu bukan main sayang, sekarang ini sebelah mata pun mereka (DAP) tak pandang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran kepada 177 peserta Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Sungai Ranggam dan kepada 181 peserta Rancangan Pertanian Berkelompok Sungai Ranggam di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ranggam di sini hari ini
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali. - UTUSAN ONLINE