.... Isu 1MDB tidak lagi bimbangkan rakyat | AAKJ



ARUL KANDA KANDASAMY
ARUL KANDA
SEREMBAN 27 April - Isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lagi menarik perhatian dan membimbangkan rakyat negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, terdapat isu-isu lain yang lebih menjadi tumpuan dan 1MDB bukan salah satu daripadanya.
"Kepada rakyat Malaysia, 1MDB bukan lagi isu teratas, ada isu lain seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan. 1MDB adalah isu di tahap ke-10 atau ke-11 kepada rakyat.

"Tetapi sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab kita tetap memberi penerangan kerana isu itu dipolitikkan dan pembangkang menipu rakyat.
"Walaupun isu ini tidak membimbangkan rakyat, kita mahu mereka mendengar sendiri dan membuat penilaian," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Bicara Isu-Isu Semasa di Dewan Besar Gedong Lalang di sini malam tadi.
Yang turut hadir calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza.
Sementara itu, Arul Kanda kesal dengan penyiaran sebuah artikel oleh portal pembangkang, Malaysiakini yang sengaja menghentamnya tanpa fakta kukuh dalam isu 1MDB.
Katanya, penulis tersebut tidak hadir semasa sesi penerangan oleh beliau di pejabat portal tersebut dua minggu lalu, namun bertindak menyerangnya termasuk mempersoalkan kewajaran pelantikannya dalam 1MDB.
"Inilah masalah media propembangkang. Mereka hanya nak jawapan yang mereka nak dengar. Saya jurucakap syarikat bukan tukang jawab.
"Saya bercakap berdasarkan fakta, dokumen dan sudut pandangan syarikat. Saya bukan ahli politik atau mahu kawasan (untuk bertanding) dalam pilihan raya," katanya.
Beliau juga mengakui tidak tertekan dengan isu tersebut walaupun sering menjadi sasaran pembangkang kerana masalah 1MDB telah berjaya diselesaikan. - UTUSAN ONLINE


© Utusan Melayu (M) Bhd 


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top