Hal ini termasuklah dalam bidang kesihatan apabila sejak beberapa tahun lalu, tohmahan tentang kekurangan peruntukan kepada institusi kesihatan menjadi ‘mantera’ kegemaran mereka.
Sedangkan, menurut ahli Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir, peruntukan kerajaan untuk bidang kesihatan pada tahun ini adalah yang tertinggi dalam sejarah.
“Tiada Perdana Menteri yang pernah memberikan peruntukan yang sangat tinggi untuk bidang kesihatan seperti yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Malah, tiada rakyat yang dinafi hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atas sebab kewangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Najib mengumumkan penambahan peruntukan untuk bidang kesihatan daripada RM25 bilion pada tahun 2017 kepada RM27 bilion pada tahun ini.
Semalam, Naib Presiden PPBM yang dibubarkan sementara, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa peruntukan untuk institusi kesihatan tidak mencukupi ketika menyampaikan ceramah di Felda Bukit Tangga, Kedah.
Bekas Menteri Besar Kedah itu turut mendakwa bekalan ubat sudah tidak mencukupi dan peralatan yang ada tidak diselenggara dengan baik kerana tidak cukup peruntukan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga seorang pakar perubatan kecemasan berkata, perkhidmatan kesihatan yang diberikan kerajaan bukan sahaja murah, malah berkualiti.
Beliau memberikan contoh ubat untuk pesakit jantung yang berharga sehingga RM3,600 boleh dimiliki dengan hanya membayar RM1.
“Pada zaman Najib juga, hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai pusat rawatan kardiologinya sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE