Malah, majlis yang sepatutnya bermula pukul 8.30 malam hanya dapat dimulakan sejam kemudian sementara menanti ketibaan orang ramai.
Sehingga majlis berakhir kira-kira pukul 11 malam, hanya lima calon Zon Selatan yang hadir terdiri daripada Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, calon Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh (Permas) dan Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) yang hadir.
Calon yang ditunggu-tunggu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Iskandar Puteri (dahulu Gelang Patah) bagaimanapun tidak kelihatan.
Seperti dijangka, intipati ceramah kesemua calon hanya berkisarkan isu kitar semula mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kos sara hidup.
Salahuddin turut cuba menyemai rasa benci rakyat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan mengaitkan calon Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas itu dengan isu rasuah.
Salahuddin turut mempertikai Mohamed Khaled yang bertanding di dua kerusi, DUN dan Parlimen sedangkan dia sendiri turut bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE