.... Calon wanita BN Kelantan yakin beri saingan | AAKJ



Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bergambar bersama calon-calon BN Kelantan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 di Bangunan UMNO negeri Kelantan. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Lima calon wanita termasuk empat 'muka baharu' yang mewakili Barisan Nasional (BN) Kelantan yakin mampu mencabar parti lawan seterusnya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Antara muka baharu, Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md Eusope (DUN Panchor); Ketua Puteri UMNO Kubang Kerian, Nurul Amal Mohd Fauzi (DUN Demit); Ketua Wanita UMNO Kuala Krai, Suzaini Adlina Sukri (DUN Manek Urai); dan Ketua Wanita UMNO Kota Bharu, Madihah Ab Aziz (DUN Tanjong Mas).
Madihah, 58, yang juga Presiden Wanita Kelantan Malaysia ketika ditemui berkata, pihaknya tidak berdepan masalah untuk menandingi calon lawan di Tanjong Mas walaupun ia adalah 'kubu kuat' PAS.
"Memang kawasan Tanjong Mas adalah kubu kuat pihak lawan namun kita sudah melihat tanda-tanda parti itu kurang menyerlah pada saingan kali ini.
Calon Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman (dua kiri) bersama calon kawasan Dewan Undangan negeri (ADUN) kawasan Parlimen Pengkalan Chepa, iaitu calon DUN Chempaka, Mohamed Fareez Noor Amran (kiri), DUN Panchor, Zarina Eusope (kanan), DUN Kijang, Wan Shahrul Azuan Wan Ab Aziz selepas diumumkan bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa P020 di majlis pengumuman calon-calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di bangunan UMNO negeri, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
"Jadi tidak mustahil dalam usaha yang berterusan bagi mendekati pengundi, ia bakal memberi peluang pada kita dan saya bersyukur dengan pencalonan ini untuk saya membawa perubahan kepada penduduk di sini," katanya sambil menambah sudah membela golongan asnaf kawasan itu selama tiga tahun.
Sementara itu, Zarina yang dicalonkan di DUN Panchor berkata, perancangan dan persiapan sudah dilaksanakan termasuk memberi bantuan kepada keluarga susah dan membantu menyalurkan mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan pembelaan.
"Saya yakin dengan gerak kerja yang rapi dari semua jentera terutama Wanita dan Puteri UMNO, Insya-Allah ia mampu mendekati hati pengundi untuk memilih BN di negeri ini," katanya.
Bagi Nurul Amal, berkata pencalonan kali pertama yang diputuskan adalah satu amanah yang besar perlu digalas bagi memastikan kawasan itu dimenangi BN.
"Benda (pencalonan) ini satu tanggungjawab besar saya kepada rakyat di kawasan Demit dan usaha yang berterusan perlu digerakkan bagi memastikan kemenangan pada BN.
"Saya sudah mempunyai jentera dan ia sudah bergerak di kawasan terbabit bagi mendekati pengundi dan saya difahamkan pihak lawan menggunakan wakil dari luar tetapi saya anak tempatan di kawasan itu. Insya-Allah ini memberi kelebihan dan saya akan bertanggungjawab dan memikulnya dengan perancangan yang saya ada," katanya.
Suzaini Adlina pula berkata, setiap yang dicalonkan perlu yakin dan bergerak bagi memastikan kemenangan diperoleh seperti diharapkan kepimpinan tertinggi UMNO.
"Semua nama yang dicalonkan sudah tahu gerak kerja yang perlu dibuat untuk memenangi kerusi terbabit dan saya juga mahu memanfaatkan harapan dari kepemimpinan untuk memberi peluang kepada BN merampas semula negeri ini," katanya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top