Menu

IKLAN

 Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU 25 April - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan kesemua 40 calon Barisan Nasional (BN) Terenganu yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kekal sebagaimana diumumkan.
Beliau berkata, hasil kajian selama empat tahun oleh Pejabat Perdana Menteri telah membuktikan mereka adalah antara calon terbaik bagi membawa cabaran ketika BN menjanjikan kemenangan lebih besar, justeru parti tidak akan tunduk dengan sebarang desakan daripada mana-mana pihak.
Tindakan kumpulan yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai,Datuk Mohamad Awang Tera dengan tuduhan yang ditularkan ketika ini disifatkan sebagai ‘ikhtiar’ oleh kumpulan berkenaan sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.“Keputusan adalah muktamad selepas melihat banyak segi dan kita tidak akan terikut dengan apa-apa sahaja permohonan, rayuan dan sebagainya kerana kajian telah dibuat selama empat tahun. Saya yakin dan percaya dengan calon yang ada, kita akan dapat menang besar.
“Mereka mungkin merasakan ada ruang lagi sebelum penamaan calon pada 28 April, itu adalah antara ikhtiar dan terpulang kepada mereka tetapi saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang telah mendapat mandat Presiden, dimaklumkan setakat hari ini tidak ada pertukaran calon... calon yang kita sebut itulah yang akan bertanding dalam PRU-14,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini petang semalam.
Yang hadir sama isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Tengku Azelam Tengku Abdullah.
Mohamad bagaimanapun tampil memberi penjelasan hari ini bagi membersihkan namanya selain menepis segala tuduhan kononnya mendapat bantahan daripada akar umbi kerana didakwa mensabotaj parti lima tahun lalu.
Ketika ditanya kewujudan sepanduk dengan kata-kata negatif ke atas calon DUN Cukai, Ahmad Razif menyifatkan perkara itu adalah biasa dalam musim pilihan raya ini bahkan, situasi sama turut berlaku di negeri-negeri lain.
“Biasalah rasa tidak puas hati tetapi yakin dan percayalah selepas penamaan calon nanti semua perkara itu akan selesai.
“InsyaAllah BN negeri tidak terjejas kerana kita pernah menghadapinya, sudah 13 kali PRU dilakukan dan InsyaAllah tidak ada masalah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd 


 
Top