Menu


MUAR: Tindakan sekumpulan 10 lelaki memasang bendera parti politik berhampiran dengan talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Yusof, dekat sini membawa padah apabila empat daripada mereka terkena renjatan elektrik.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 awal pagi semalam itu, kumpulan lelaki berkenaan dikatakan cuba memacak buluh untuk dipasang dengan bendera parti politik.


Difahamkan, ketika empat mangsa terbabit dipercayai sedang cuba mengangkat buluh terbabit, secara tiba-tiba berlaku renjatan menyebabkan mereka terpelanting.
Seorang lelaki dilaporkan parah apabila patah tulang rusuk manakala tiga yang lain cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, ketika dihubungi, mengesahkan baru menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan pihaknya masih melakukan siasatan.
Sebelum ini, TNB dalam satu kenyataan media menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya tidak memasang bahan kempen di tempat berisiko terkena renjatan seperti menggantung bendera dan sepanduk di tiang, kabel, peti pembekal dan pencawang elektrik lain.

Oleh Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my



 
Top