.... Kontroversi Terowong Makin Panas | AAKJ






Selepas berhempas-pulas cuba untuk memperlihatkan kononnya projek terowong dasar laut bersih dan tidak terpalit sebarang kontroversi, akhirnya syarikat pemaju terbabit sendiri yang membuka pekung di dada.


Dakwaan membayar sebanyak RM22 juta kepada pihak tertentu untuk menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara tidak langsung menunjukkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.


Secara logiknya, adakah syarikat pemaju berkenaan sanggup membayar sehingga RM22 juta untuk menutup siasatan SPRM sekiranya projek terowong dasar laut itu sememanganya melalui transaksi urus niaga yang benar-benar cekap, telus dan akauntabiliti?

Seperti biasa, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil sikap lepas tangan dan mendakwa langsung tidak mengetahui tentang pembayaran yang dibuat oleh syarikat pemaju berkenaan.

Walaupun kedengaran mustahil kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya memantau aktiviti syarikat yang dianugerahkan projek itu, namun kerajaan negeri perlu diberi peluang untuk mendengar maklum balas daripada syarikat berkenaan seperti diminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dari awal lagi, projek terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang itu sarat dengan tanda-tanya.

Bermula dari kos pembinaannya yang disifatkan luar biasa mahal sehingga lebih RM6 bilion, sehinggalah kepada perjanjian dan penganugerahan projek itu kepada syarikat pemaju, semuanya menimbulkan keraguan dan persoalan yang sukar dijawab.

Sebab itu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan langkah paling tepat dan adil untuk merungkai kontroversi di sebalik projek mega tersebut.

Kerajaan DAP Pulau Pinang pula sepatutnya memberi ruang dan bekerjasama dalam siasatan SPRM berhubung projek ini.

Kerana seperti kebanyakan pihak lain, mereka juga memerlukan jawapan memandangkan kredibiliti dan integriti kepemimpinan kerajaan negeri turut terpalit dalam kontroversi ini.

Tindakan menyerang SPRM kononnya berat sebelah atau dwi standard dan menjalankan siasatan berteraskan politik tidak mampu menutup keraguan dalam projek tersebut.

Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin banyak kepincangan dalam projek terowong dasar laut itu terdedah kepada umum dan dinilai dengan teliti oleh penduduk Pulau Pinang.

Untuk kesekian kalinya, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menerima hakikat dan akur siasatan SPRM terhadap skandal terowong bukan bermotif politik.

Sebaliknya, tindakan SPRM adalah didorong oleh bukti-bukti yang jelas dan nyata yang bukan hanya bersumberkan pihak luar, tetapi daripada tindakan syarikat pemaju projek terowong dasar laut itu sendiri.

Daripada terus menghentam SPRM, adalah lebih baik Kerajaan DAP Pulau Pinang menyiapkan diri dan bersedia dengan bukti lebih kukuh kerana skandal projek terowong dasar laut itu semakin hari semakin terbuka luas.




Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top