.... Hapus Tol Satu Lagi Janji Palsu Pakatan | AAKJ






Sekali lagi Pakatan Harapan yang diketuai DAP cuba memetik bulan dan bintang untuk mengaburi mata masyarakat melalui manifesto pakatan tersebut sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), antaranya menghapuskan tol di seluruh negara yang digariskan di bawah teras meringankan beban rakyat.


Malangnya, berdasarkan rekod pakatan tersebut, tiada satu pun tol dimansuhkan meskipun DAP telah memimpin Pulau Pinang selama dua penggal iaitu tempoh yang sama PKR menguasai Selangor selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.


Dalam masa yang sama, masyarakat harus mengimbau semula tempoh 22 tahun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengepalai negara ini, hanya satu tol dimansuhkan iaitu Plaza Tol Slim River pada 11 Januari 1993, ia memberi gambaran jelas beliau bersetuju dengan pelaksanaan tol di negara ini.

Menurut Anggota Luar Jawatankuasa Dasar Monetori Bank Negara Malaysia (BNM), Dr. Yeah Kim Leng, terdapat banyak kesan buruk sekiranya tol dihapuskan ketika ini kerana kerajaan perlu mengumpul dana untuk membayar semula syarikat konsesi yang telah membangunkan lebuh raya di sesebuah kawasan.

Jelasnya, situasi itu menyebabkan kerajaan berada dalam kedudukan ‘losing side’ ekoran terpaksa menanggung kadar hutang yang lebih tinggi akibat penghapusan tol tersebut.

“Dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan ekonomi dan kewangan negara, kita tidak boleh bertindak semberono kerana ia melibatkan banyak pihak iaitu kerajaan, sektor swasta dan golongan majoriti iaitu rakyat.

“Penghapusan tol di seluruh negara akan mengakibatkan kerajaan perlu mengumpul dana untuk membayar semula syarikat konsesi sekali gus terpaksa menanggung hutang yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kim Leng yang juga Profesor Ekonomi di Sekolah Ekonomi Universiti Sunway menegaskan, hanya tol yang membolehkan Malaysia memiliki lebih banyak lebuh raya berkualiti seterusnya manfaat tersebut dapat dinikmati pelbagai pihak seperti rakyat dan pelabur.

“Apabila pembinaan lebuh raya dibiayai oleh sektor swasta, kerajaan dapat mengalihkan perbelanjaan negara kepada perkara lain seperti menambah baik pembangunan kawasan pedalaman, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Kim Leng yang juga Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia memberitahu, hasil daripada kutipan tol tidak boleh dilihat menerusi keuntungan yang diraih syarikat konsesi semata-mata sebaliknya ia meliputi kos menyelenggara lebuh raya tersebut bagi tempoh tertentu.

Menurutnya, pendapatan tol yang dikumpul adalah untuk membayar semula pinjaman konsesi tersebut kerana bagi membina sebuah lebuh raya, syarikat-syarikat konsesi akan meminjam sejumlah wang dari bank-bank komersial tempatan.

“Dalam masa sama, pendapatan itu juga digunakan untuk operasi dan menyelenggara lebuh raya mengikut standard ditetapkan oleh kerajaan semata-mata demi keselesaan pengguna serta perkhidmatan lain seperti kecemasan dan keselamatan semua pihak yang menggunakan infrastruktur tersebut,” katanya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top