.... Skandal Forex Bank Negara: Terkini, RCI Buat Laporan Polis | AAKJ



(BERNAMA) – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar tahun 1990-an, hari ini membuat laporan polis berhubung syor dan hasil rumusan yang terkandung dalam laporan tersebut.

Laporan polis pada jam 4.10 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini itu dibuat oleh setiausaha RCI, Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha bahagian pelaburan strategik Kementerian Kewangan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Yusof berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah dan penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh pihak yang dinyatakan dalam laporan suruhanjaya itu.

Ditanya adakah nama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku menteri kewangan ketika itu dinamakan dalam laporan polis tersebut, Yusof berkata tiada individu tertentu dinyatakan dalam laporan yang dibuatnya.

“Berdasarkan laporan suruhanjaya, kita dapati banyak pihak yang terlibat seperti BNM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara.

“Jadi, dalam laporan ini, saya turut sertakan buku laporan penuh Suruhanjaya Siasatan mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris sebagai panduan untuk polis menjalankan siasatan,” katanya.

Yusof berkata berdasarkan percakapannya bersama pegawai di IPD Putrajaya, beliau difahamkan siasatan bagi laporan tersebut akan dijalankan oleh IPD Dang Wangi, Kuala Lumput.

Berhubung mengapa laporan polis hanya dibuat hari ini sedangkan laporan penuh suruhanjaya telah lama disiapkan, beliau berkata laporan itu dikategorikan sebagai “embargo” selagi belum diserahkan kepada Parlimen.

Terdahulu, di Parlimen laporan setebal 400 muka surat itu yang diedarkan kepada Dewan Rakyat hari ini mendapati ada asas bagi mengesyorkan polis menyiasat kemungkinan berlakunya pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.

Selain itu, suruhanjaya tersebut turut mendedahkan BNM mengalami kerugan sebanyak RM31.5 bilion dalam tempoh tiga tahun iaitu RM12.35 bilion pada 1992, RM15.29 bilion untuk 1993 dan RM3.86 bilion bagi 2014.



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top