.... 'Saya bukan kena gam' | AAKJ




KUALA LUMPUR: Tanda tanya kehilangan Syamsul Amri Ismail atau 'Syamsul Debat' pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) terjawab apabila beliau memilih untuk memberi laluan kepada orang lain sebagai perwakilan tahun ini.
Syamsul Debat yang kini menghadiri program ceramah di Kota Tinggi, Johor memberitahu BH, ketiadaannya bukan disebabkan dihalang daripada hadir tetapi memilih untuk memberi laluan kepada perwakilan lain sebagai jurucakap Negeri Sembilan.
"Ada orang memuat naik status di Facebook kata saya kena banned (digam) daripada menjadi perwakilan.
"Itu tak betul sebab saya memang dipilih untuk berucap tahun ini tetapi mengambil keputusan memberi laluan kepada orang lain.
"Tidak timbul isu saya dihalang daripada berucap dan secara tidak langsung memberi saya kesempatan mencari material baru dan membaiki cara penyampaian sekiranya diberi peluang berucap pada perhimpunan tahun depan," katanya.
Berdasarkan pemerhatiannya, Syamsul mendapati perbahasan tahun ini amat menarik kerana pembahas mengutarakan pelbagai isu yang dekat di hati rakyat.
Tahun lalu, gaya bersahaja Syamsul Debat yang mewakili Negeri Sembilan menarik perhatian selepas menegur perwakilan UMNO ketika membahaskan usul agama dan pendidikan hingga menggamatkan Dewan Merdeka.
Teguran dan nasihat disulami sindiran halus menggunakan loghat Negeri Sembilan, termasuk meniru gaya percakapan pelakon silam, Allahyarham Nordin Ahmad ketika menyentuh situasi ekonomi negara ketika ini, turut diingati hingga kini.
Malah, rakaman ucapannya pada perhimpunan itu menjadi viral di media sosial dan ditonton lebih satu juta kali di YouTube.
Tahun ini, Negeri Sembilan diwakili Mohd Syukri Shamsudin bagi membahaskan usul Agama dan Pendidikan.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top