.... Dr M gesa pembebasan segera Anwar | AAKJ



Dr Mahathir Mohamad menggesa pembebasan segera Anwar Ibrahim, dengan menggambarkan Anwar sebagai “prisoner of conscience”.

Beliau membuat gesaan itu dalam kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia yang berpangkalan di AS, Kimberly Motley.

Mahathir menganggap Anwar sebagai tahanan politik yang telah menjalani hukuman penjara lebih daripada 34 bulan dan kini memerlukan penjagaan kesihatan yang komprehensif.

Hampir dua dekad lalu, Anwar, yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, telah menuduh Mahathir menjadi dalang konspirasi politik terhadapnya dan membuat dakwaan salah laku seksual yang palsu.

Sebaliknya, Mahathir mendakwa Anwar, yang beliau pecat daripada kerajaan pada tahun 1998, sebagai tidak mempunyai moral untuk memimpin negara.

Mahathir, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan, dan Motley, yang berada di Kuala Lumpur, mengadakan mesyuarat semalam untuk membincangkan kedudukan semasa Anwar.

"Pertemuan itu membuahkan hasil. Kami bersama-sama bersetuju Anwar harus segera dibebaskan dari penjara. Beliau kini berada di hospital, menjalani rawatan perubatan jangka panjang.

"Anwar adalah tahanan politik dan telah menjalani hukuman penjara lebih daripada 34 bulan.

"Beliau dijadualkan untuk dibebaskan pada bulan Jun 2018 dan keadaan kesihatannya sekarang menjadi kebimbangan kepada keluarganya, kawan-kawan, dan orang ramai di seluruh dunia," kata kedua-duanya dalam kenyataan bersama petang ini.

Mahathir dan Motley berkata, Anwar, sebagai “prisoner of conscience” berusia 70 tahun, memerlukan penjagaan kesihatan, yang telah terhalang akibat penahanannya.

"Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia," tambah mereka.

https://m.malaysiakini.com/news/405323

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top