.... TIADA HAD TEMPOH AUDIT TAHUN TAKSIRAN KEBELAKANG JIKA MENIPU CUKAI | AAKJ





Kekecohan mula berlaku apabila audit percukaian mendedahkan terdapat ketidakpatuhan praktis percukaian di kalangan pembayar cukai mengikut peraturan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Orang ramai perlu mengetahui secara umumnya objektif utama audit cukai ialah untuk menggalakkan pematuhan secara sukarela terhadap undang-undang dan peraturan percukaian dan memastikan kadar pematuhan cukai yang lebih tinggi dicapai di bawah Sistem Taksir Sendiri.

Sebagai pegawai audit percukaian yang bernaung di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) perlu memastikan bahawa pendapatan yang betul telah dilaporkan dan cukai telah dibayar mengikut undang-undang dan peraturan percukaian.

Bagi mencapai matlamat pematuhan cukai secara sukarela, aktiviti audit cukai adalah salah satu pendekatan LHDNM untuk memberi pendidikan serta pendedahan kepada pembayar cukai terhadap tanggungjawab dan kewajipan mereka di bawah peruntukan ACP.

Tempoh tahun taksiran bagi audit cukai yang dijalankan meliputi tiga tahun taksiran dan dibuat secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, tahun-tahun taksiran yang diliputi untuk membangkitkan taksiran boleh dilanjutkan sehingga 5 tahun taksiran kebelakangan bergantung kepada isu-isu audit yang ditemui.

Namun begitu, untuk kes-kes melibatkan penipuan (fraud), keingkaran sengaja (wilful default) atau kecuaian (negligence) seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 91(3) ACP, tempoh 5 tahun taksiran kebelakang tidak terpakai.

Kegagalan mematuhi peraturan di bawah ACP untuk menyimpan rekod yang mencukupi dan lengkap adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119A ACP. Sehubungan dengan itu, pegawai audit berhak menggunakan kaedah atau pendekatan alternatif yang terbaik bagi menentukan sesuatu pendapatan tersebut telah dilaporkan dengan betul dan sepatutnya.

Oleh itu pembayar cukai perlu menyimpan rekod yang mencukupi dan lengkap bagi membolehkan pendapatan atau kerugian daripada perniagaan ditentukan di bawah Peruntukan seksyen 82 dan 82A ACP.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top