.... Sekolah Jenis Kebangsaan Bercanggah Dengan Perlembagaan | AAKJ



Sekolah Vernakular dan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan sama sekali tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan, demikian menurut Koordinator Kempen Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Saudara Aidil Khalid. 

Apa yang diperuntukkan adalah pembelajaran dan pengajaran bahasa (selain Bahasa Melayu) sahaja, bukan suatu sistem sekolah di mana semua silibusnya diajar dalam bahasa vernakular. 

“Perkara 152 Perlembagaan menerapkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Perkara 152 ini juga memperuntukkan bahawa walaupun Bahasa Melayu itu ditetapkan sebagai Bahasa Kebangsaan, namun ia tidak menghalang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain.” 

“Seseorang boleh mempelajari Bahasa Mandarin atau Tamil sebagai sebahagian daripada subjek, namun bukan menggunakan bahasa-bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar untuk semua sistem pendidikan.” 

Mengambil contoh kes penghakiman Universiti Merdeka lwn Kerajaan Malaysia, Aidil berkata bahawa kes ini mensahihkan lagi kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan. 

Hal ini apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hak untuk Universiti Merdeka menggunakan bahasa Mandarin (vernakular) sebagai bahasa pengantar tidak tercatat dalam Perlembagaan. 

Selain itu, Aidil berkata bahawa rakyat boleh menyaman kerajaan Malaysia kerana memberi peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan, namun perkara ini hanya boleh berlaku sekiranya wujud plaintif yang mempunyai locus standi. 

“Dari segi Cause of Action memang boleh saman, tetapi perlulah mendapatkan plaintif yang mempunyai locus standi terlebih dahulu untuk saman pemula.” 

Memetik laporan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) bertajuk Hak Asasi Manusia 2016, Aidil berkata bahawa keberadaan sekolah aliran kaum menyumbang kepada penguasaan Bahasa Kebangsaan yang lemah, dan sikap acuh tak acup terhadap bahasa tersebut. 

“Laporan CENTHRA memetik Prof Sharon Carsten pada 2014 yang mendapati orang Cina Malaysia mempunyai “perasaan negatif terhadap menggunakan Bahasa Kebangsaan”, dan Prof Teo Kok Seong pada 2015 yang mendapati 604 daripada 14,000 peserta Program Latihan Khidmat Negara 2010 “tidak boleh bercakap dalam Bahasa Kebangsaan”.” 

Tambahnya lagi, “Pengarah Penyelidikan dari Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Muhammed Abdul Khalid juga mengatakan bahawa, ‘satu laporan daripada Kementerian Pendidikan menunjukkan kadar keciciran pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina adalah paling tinggi berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil mahupun Sekolah Kebangsaan antara tahun 2006 dan 2010. 

Malaysia Chinese Association (MCA) juga melaporkan bahawa dianggarkan seorang daripada 4 orang pelajar berhenti belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina pada usia 18 tahun, yang membawa kepada kadar keciciran sebanyak 25%’.” 

“Oleh itu, penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan tidak perlu dikekalkan dan dipertahankan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan,” tegasnya lagi. 

Baru-baru ini Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya pelajar di sekolah vernakular harus fasih berbahasa kebangsaan seperti pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan. 

Titah Sultan Perak tersebut disambut juga oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan sendiri. 

Semalam Timbalan Perdana Menteri menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan sebilangan pelarian Rohingya yang fasih berbahasa Melayu walaupun pernah bekerja selama beberapa tahun di Malaysia, berbanding dengan segelintir warganegara yang masih gagal walaupun negara sudah 60 tahun merdeka.

-menara


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top