.... Raja Salman Akan Lepaskan Takhta? | AAKJ



KHABAR angin mula tersebar menyatakan Raja Arab Saudi, Raja Salman, akan menyerahkan takhta kepada anaknya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman minggu depan.

Daily Mail yang memetik sumber yang rapat dengan keluarga diraja itu menyatakan, Raja Salman akan meneruskan tugasnya sebagai lambang manakala kuasa pemerintahan diserahkan kepada anaknya.

“Jika tiada apa yang dramatik berlaku, Raja Salman akan mengumumkan pelantikan Putera Mohammed sebagai Raja Arab Saudi, minggu depan.

“Raja Salman akan berperanan seperti Ratu England. Beliau hanya mengekalkan gelaran Penjaga Dua Kota Suci (Makkah dan Madinah),” kata sumber itu.

Ia dianggap langkah melengkapkan peralihan kuasa Putera berusia 32 tahun itu, selepas penahanan ratusan individu, termasuk lebih 40 kerabat diraja, ahli perniagaan dan menteri bagi siasatan rasuah awal bulan ini.

Namun, setakat ini belum ada pihak mengesahkan Raja Salman akan turun takhta diganti anaknya itu.

Jika benar ada peralihan kuasa itu, ia berlaku ketika politik di rantau berkenaan bergolak, terutama ketegangan antara Arab Saudi dengan Iran.

Arab Saudi menganggap tindakan pemberontak Yaman membedil peluru berpandu yang gagal meletup ke lapangan terbangnya minggu lalu, sebagai tindakan perang oleh Iran kerana peluru berpandu terbabit dibekalkan Iran.

Selain itu, peletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri, juga mewujudkan krisis di rantau itu.

Reuters melaporkan, Menteri Luar Lubnan, Gebran Bassil, berkata krisis peletakan jawatan Hariri itu percubaan mewujudkan hura-hara di Lubnan.

Hariri mengumumkan peletakan jawatannya ketika berada di Arab Saudi, dua minggu lalu, dengan alasan bimbang dibunuh serta mengkritik Hezbollah, pasukan bersenjata Lubnan yang disokong Iran.

Hari ini, AFP melaporkan Ketua Turus tentera Israel menyatakan negara itu sedia bekerjasama dengan Arab Saudi menghadapi Iran yang mahu ‘menguasai Asia Barat’.

Menurut Reuters kenyataan pegawai kanan tentera Israel dalam temuramah oleh portal berita Arab Saudi itu (yang tidak pernah berlaku sebelum ini) menyebabkan wujud spekulasi kerjasama tentera Arab Saudi dengan Israel terhadap Iran dan sekutunya.

Arab Saudi mahu menjinakkan Iran namun ia juga perlu memastikan Hezbollah tidak masuk campur. Israel pihak terbaik untuk menangani Hezbollah.

HM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top