.... Cupu Kiai Panjala | AAKJ



“Wanita semua diizinkan masuk.” Bergema suara Pak Dwidjo, penjaga ketujuh Cupu Kiai Panjala.

Saya bersama ratusan yang lain berpusu-pusu masuk ke ruang kecil rumah kampung itu untuk melihat upacara adat yang ditunggu setiap tahun.

Cupu Kiai Panjala, kepercayaan lama masyarakat Jawa yang masih dijaga hingga ke hari ini.

Hari pertama sampai di Yogyakarta, Indonesia, saya dikhabarkan akan berlangsung ritual Cupu Kiai Panjala dalam beberapa hari lagi.

Belum pernah saya dengar acara ini di mana-mana pun membuatkan saya tertanya sendiri.

Selepas diberitahu, ritual adat yang berusia lebih 500 tahun itu cuma diadakan setahun sekali, terdetik ingin melihat dengan mata sendiri.

Mendengar pula cerita teman dan orang sekeliling, rasa ingin tahu membuak-buak lalu saya menyatakan hasrat ingin turut serta.

Sempat saya bertanyakan orang lama di situ, dikatakan sejarah Cupu Kiai Panjala adalah daripada kisah rakyat beratus tahun lalu.



RUANG khas di bahagian lelaki disediakan untuk membuka Cupu Panjala. FOTO NSTP

Cerita yang mana seorang pemuda bernama Kiai Seyek menemui cupu (pasu kecil) di tengah laut sewaktu menjala.

Dia membawa pulang cupu tersebut dan kisah mistik cupu itu berlarutan hingga ke hari ini.

Cupu itu dibalut dengan ratusan helai kain mori (kafan) dan cuma dibuka pada satu hari tertentu (perkiraan kalendar Jawa) setiap tahun.

Dan ketika dibuka, gambar atau simbol terpapar di lembaran kain itu dipercayai berkaitan dengan apa yang bakal berlaku untuk satu tahun ke depan.

Hari upacara iaitu awal petang, saya dan teman ke lokasi lebih awal.

Perjalanan kami dari Kota Yogyakarta ke Dusun Sedak, Girisekar mengambil masa dua jam melewati jalan kampung dan hutan.

Setiba di sana sekitar jam 6 petang, hari sudah gelap dan orang mulai ramai.

Ada sebahagian jalan masih bertanah merah dan becak menyukarkan kenderaan untuk bergerak.

Begitupun, kereta dan motosikal memenuhi jalan kecil kampung dengan beberapa bas yang membawa masyarakat Jawa dari daerah lain seluruh Indonesia.

Disebabkan terpaksa parkir jauh, kami menggunakan jalan pintas ke tempat upacara.

Sampai di sana, reaksi pertama saya melihat susunan khemah di luar rumah tidak ubah seperti kenduri kahwin di balai raya.

Selepas diberitahu tanah keliling rumah itu asalnya ditanam jagung, namun ia dikosongkan semata-mata untuk upacara ini, saya yakin jumlah yang datang nanti pasti ribuan orang.

Sesaat melangkah masuk, bau kemenyan kuat menusuk hidung. Asap memenuhi seluruh ruang rumah dan di satu sudut lain, saya lihat ada seorang lelaki tua lengkap berpakaian tradisional Jawa duduk menghadap api dan di depannya ada satu balutan kain cukup besar.

Teman berbisik, “Balutan kain yang ‘menggunung’ itulah Cupu Panjala. Dan itu, Pak Dwidjo, generasi ketujuh Kiai Panjala.”

Langkah dilanjutkan ke dapur untuk melihat persiapan hidangan tetamu.

Melihat suasana itu, terasa seperti saya kembali ke zaman di mana ibu tua masih memasak cara lama menggunakan kayu api.


BACAAN mantera sebelum membuka balutan. FOTO NSTP

Di sudut lain, tersusun berpuluh bakul diisi nasi dengan diletakkan seekor ayam kampung dalam setiap satu bekas.

Difahamkan, semua bahan yang dimasak itu hasil pemberian orang yang ingin meminta doa daripada Cupu Panjala.

Ketika suasana mulai sesak, saya masuk ke dalam rumah dan melihat kedudukan perempuan dan lelaki diasingkan. Saya diberitahu, ia terbahagi dua untuk menghormati kelangsungan tata tertib sejak dulu kala.

Jam 10 malam, tetamu dihidangkan dengan sepinggan nasi uduk dan lauk ayam. Saya diingatkan tidak berkongsi dengan orang lain kerana itu pantang larangnya manakala hidangan kedua pada jam 12 malam harus dimakan berdua.

Sepinggan nasi berlauk serunding kelapa ‘wajib’ dikongsi.

Banyak yang perlu dihormati dalam upacara ini, antaranya dilarang berdiri di dalam rumah.

Bapak Wilujo Driyanto, 63, salah seorang pengunjung menceritakan hal yang berlaku kepada mereka yang tidak patuh larangan.


NASI Uduk dihidangkan kepada tetamu. FOTO NSTP

Katanya, ada yang pernah terhantuk di kayu kerana berdiri dan beberapa hari seterusnya dia meninggal dunia.

Ada yang keguguran kerana tidak menghormati pantang larang.

Timbul rasa takut di dalam hati tapi saya yakin niat yang baik seiring dengan kelakuan sopan selagi saya menghormati adat mereka, pasti dipermudahkan.

Tepat jam 1.30 pagi, Cupu Panjala yang tersimpan di dalam bilik kecil tadi dibawa ke ruangan lelaki untuk dibuka.

Saya lihat, ia diangkat penuh tertib dan diusung Pak Dwidjo dan adiknya.

Selepas bacaan doa, semua wanita di sekeliling saya bersedia dengan pen dan kertas untuk mencatat simbol yang diumumkan Pak Dwidjo.

Seusai balutan dibuka, imej pertama yang timbul pada kain kafan itu adalah tanda tujuh bintang yang membentuk segi tiga.

Kemudian gambar payung yang dianggap perlindungan orang atasan terhadap rakyat.

Dalam helaian kain lain, gambar wanita dan bayi terletak bersebelahan, dipercayai membabitkan kes akhlak (buang bayi) yang berlanjutan sepanjang tahun.

Setiap patah perkataan ditutur dalam bahasa Jawa. Mujur saya menemui pelajar dari Institut Seni Indonesia yang turut datang mendokumentasi upacara tradisi itu membantu menterjemahkan bahasa.



GAMBAR yang ditemui di dalam lipatan kain. FOTO NSTP

Menurut wanita warga emas yang saya temui, katanya setahun sebelum Gunung Merapi meletus, ada tanda tanah di helaian kain Cupu Panjala.

Ada tanda darah sebelum tsunami melanda Indonesia.

Akhirnya, selepas hampir tiga jam, bukaan balutan selesai dengan tiga cupu berada di tengah-tengahnya.

Sebanyak 47 imej ditemui dan difahamkan, jumlah itu lebih banyak berbanding tahun lalu cuma 36 tanda.

Pengalaman melihat dan merasai sendiri aura ritual ini mungkin cuma boleh saya rasai sekali seumur hidup kerana ia tidak terbuka kepada orang luar jauh sekali dijadikan tarikan pelancong.

Justeru, beruntung untuk kita mencari kenalan di seluruh negara untuk bantu kita lebih kenal ‘isi’ kotanya.

Mymetro

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top