.... Video Polis Dah Guna 'Motor Terbang' Kejar Penjenayah? | AAKJ



DUBAI – Sekali pandang bagaikan lagak aksi dalam filem fiksyen sains namun polis Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak pernah berhenti membuat sensasi sehingga menjadi bahan berita.

Sebelum ini pasukan polis di negara Teluk Parsi yang kaya minyak itu menggemparkan dunia apabila menggunakan pelbagai model kereta lumba mewah termasuk Bugatti Veyron sebagai jentera peronda khususnya di lebuh raya.

Namun kini polis wilayah Dubai dilaporkan menggunakan sejenis motosikal terbang sekali gus menyaksikan barisan kenderaan pasukan tersebut lebih canggih berbanding penggunaan motosikal berkuasa tinggi yang sedia ada.

Dengan jentera baharunya tersebut, kumpulan penjenayah di UAE terutama di Dubai yang merupakan bandar raya terbesar negara itu, mungkin perlu berfikir dua kali sebelum mahu menjalankan aksi jahat mereka di jalanan.

Armada terkini polis berkenaan adalah sejenis hoverbike iaitu gabungan motosikal dan helikopter mini seperti jentera Speeder Bike yang lazim digunakan oleh Jedi dan dapat disaksikan dalam filem epik trilogi Star Wars.




Menurut portal antarabangsa The Vocket, hoverbike tersebut dengan pelekat lambang polis Dubai sebenarnya tengah diuji namun ia mampu terbang sehingga ketinggian hampir lima meter dari atas permukaan tanah.

Lebih menariknya, motosikal terbang ini dapat dikawal dari jarak jauh seumpama sebuah drone dengan memiliki jangkauan hingga enam kilometer sekiranya melibatkan operasi keselamatan di kawasan yang berisiko tinggi.

Tiada butiran mengenai jentera tersebut namun portal BBC melaporkan ada sebuah firma di Los Angeles, Amerika Syarikat pernah menghasilkan hoverbike itu pada 2014 yang mampu bergerak dengan kelajuan 72 kilometer sejam.

Kenderaan istimewa berkenaan menjadi tular setelah rakaman video pasukan polis Dubai berdurasi 45 saat itu dimuat naik menerusi laman YouTube memaparkan seorang anggota menguji salah satu unit jentera berkenaan.

Dalam rakaman eksklusif tersebut yang sudah ditonton lebih dua juta kali, anggota berkenaan dengan berpakaian serba hitam kelihatan berhati-hati menunggang hoverbike sebelum terbang ke udara di satu kawasan lapang.

Hoverbike dikatakan lebih sesuai digunakan pihak polis dalam operasi yang sukar dilakukan dengan kereta atau motosikal disebabkan masalah kesesakan lalu lintas atau kedudukan geografi. – Agensi/Mynewshub




Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top