.... Tragedi Tanah Runtuh P.Pinang: Ada Unsur Langgar Peraturan? | AAKJ



Pembinaan rumah mampu milik di Tanjung Bungah, Georgetown yang berdekatan dengan kuari antara punca menyebabkan berlakunya tanah runtuh sehingga 14 pekerja di tapak pembinaan itu tertimbus hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jarak pembinaan dengan kuari dianggarkan hanya 500 meter.

Katanya, pembinaan mendapat kelulusan namun beberapa aspek didapati melanggar peraturan.

"Selain lokasi yang berdekatan, kita dapati sebaik bukit ditarah cerun tidak diuruskan dengan baik.

"Ketika hari kering ia tidak menjadi masalah tetapi apabila hujan, air meresap ke kawasan cerun sekali gus tanah menjadi lembab," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan 2017 di Bandar Seri Sendayan, Seremban, hari ini.

Wan Junaidi menyifatkan malapetaka yang berlaku disebabkan kecuaian manusia yang tidak menguruskan alam sekitar dengan baik.

"Kita selama ini nak buat pembinaan tetapi tidak menguruskan alam sekitar dan hasilnya dapat dilihat hari ini. Jika kita gagal menguruskannya dengan baik, kesan alam sekitar itu akan berbalik pada kita," katanya.

Beliau memberi bayangan jika pembinaan sudah siap, nescaya akan meragut ramai nyawa dan penduduk yang mendiami kediaman itu.

"Buat masa ini kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains sudah dikerahkan ke lokasi. Mereka akan melihat sendiri keadaan sebenar sebelum tindakan diambil," katanya.

Secara ringkas katanya, kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan dan pemaju yang tidak menguruskan cerun bukit.

Metro

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top