.... AWAS Taktik Penipuan Cukai | AAKJ



Dewasa ini banyak berlaku taktik penipuan secara terancang sama ada melalui telefon bimbit ataupun secara melawat ke premis mangsa. Taktik licik penjenayah di rancang dan susun rapi melibatkan beberapa orang dalam kumpulan, mesin menjawab telefon, dokuman palsu, teknologi seperti Voice Over Internet Protocol (VOIP), SMS dan juga skrip yang terancang.Modus operandi atas talian:

1. Suspek akan menghubungi mangsa dengan mengatakan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dengan mengatakan sejumlah amaun baki cukai tertungggak yang perlu di bayar.

2. Suspek akan memindahkan telefon kepada beberapa orang lain dalam kumpulan mereka bagi meyakinkan mangsa tentang keadaan sebenar dan mewujudkan situasi cemas serta memerlukan tindakan segera oleh mangsa.

3. Contoh situasi cemas yang diwujudkan kepada mangsa seperti surat saman dari mahkamah, nama mangsa disenaraihitamkan, dibekukan akaun bank atau penahanan reman jika gagal melakukan pembayaran dengan segera.

4. Mangsa akan diarahkan membayar sejumlah wang ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan atau lebih dasyat lagi suspek akan meminta butiran akaun-akaun bank mangsa untuk diperiksa.

5. Mangsa hanya akan menyedari tertipu apabila wang sudah dipindahkan melalui transaksi atas talian ataupun dilesapkan.

Modus operandi secara lawatan ke premis:

1. Suspek dan beberapa kumpulan menyamar sebagai pegawai penyiasat dari LHDN semasa melawati premis perniagaan dengan menunjukkan dokumen palsu jumlah cukai yang tertunggak.

2. Suspek akan membuat panggilan telefon dihadapan mangsa bagi mengukuhkan penceritaan tentang cukai tertunggak atau cukai yang tidak dibayar.

3. Suspek akan menimbulkan situasi cemas sama ada menyita premis perniagaan, menahan mangsa atau mengemukakan denda yang tinggi.

4. Suspek mengarahkan mangsa membayar dengan segera sama ada secara tunai atau transaksi atas talian kepada akaun bank pihak ketiga yang telah diberikan.

Berdasarkan modus operandi yang dijalankan, seringkali mangsa akan menurut sahaja kata-kata suspek setelah suspek berjaya menimbulkan dan menguasai perasaan cemas terhadap mangsa.

Bagi menangani masalah ini, LHDNM telah memberikan garis panduan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku :-

Pembayar cukai mestilah

i. Memeriksa kad-kad kuasa yang dibawa bersama oleh pegawai-pegawai penyiasat tersebut.

ii. Meminta pegawai penyiasat memberikan peruntukan tertentu dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 yang berkaitan dengan lawatan.

iii. Meminta nombor telefon, nama penuh dan pangkat pegawai kanan yang menyelia aktiviti siasatan tersebut.

iv. Hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami ditalian 1-300- 88-3010 untuk pengesahan identiti dan jawapan yang diberikan.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top