.... Rohingya: Tarik balik Anugerah Nobel Keamanan Suu Kyi | AAKJ



Penganjur hadiah Nobel Keamanan digesa menarik balik anugerah berkenaan daripada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana gagal menangani ketidakadilan ke atas penduduk etnik Rohingya.

Pengerusi Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata tokoh itu dilihat tidak berbuat apa-apa dan hanya berpeluk tubuh dalam isu keamanan sejagat.

"Menjadi tanggungjawab saya sebagai Exco Pemuda UMNO untuk mengambil ketetapan tegas dalam isu Rohingya yang dilihat kian menjadi-jadi di Myammar.

"Rakyat Malaysia bersolidariti dalam isu Rohingya, malah telah beberapa kali menyatakan ketetapan dalam isu ini agar kekejaman ini dihentikan atas nama keamanan sejagat.

"Malangnya kerajaan Myammar dilihat tidak mengambil tindakan dalam isu ini malah dilihat hanya menutup mata," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia meluahkan kebimbangan dan keprihatinan negara dengan apa yang berlaku ke atas penduduk Rohingya yang kini berdepan penindasan di wilayah berkenaan.

Melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan sikap kurang peduli kerajaan Myanmar terhadap situasi tersebut memerlukan negara-negara jiran membawa dan membangkitkannya di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, tegas Armand, Pergerakan Pemuda UMNO mengambil ketetapan mendesak ASEAN di mana tidak boleh lagi hanya berpeluk tubuh melihat pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya.

"Bagi kami, sudah sampai masa Kerajaan Malaysia perlu lantang menyuarakan isu kezaliman tentera Myanmar ini terhadap etnik Rohingya.

"Kami rasa Kerajaan Malaysia harus ke hadapan dan mengetuai gerakan di peringkat negara ASEAN, OIC dan PBB.

"Kami yakin Malaysia sebuah negara yang kecil tetapi mempunyai hati dan berjiwa besar terutama dalam isu keamanan sejagat," jelasnya.

Armand turut memohon rakyat Malaysia untuk segera bangkit menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya.

#TearsForRohingya

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top