.... Pesta Arak, Homoseks: Zaid Ibrahim Seru Muslim Malaysia Hijrah Ke UK | AAKJ



Menggelar Malaysia “negara orang Islam yang tenat”, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menggesa orang Islam di sini menerima konsep hijrah dalam Islam untuk bebas daripada penyeksaan.

Beliau menggesa orang Islam berhijrah ke United Kingdom (UK) di mana kehidupan akan lebih baik di sana, menurutnya.

“Mereka memberi ruang untuk kamu belajar dan menjadikan diri kamu berguna. Pindahlah sementara boleh,” katanya dalam kiriman blog terbarunya hari ini.

Di Malaysia, kata Zaid, sama ada sesuatu berita benar atau palsu bergantung jika kerajaan menyukainya atau tidak.

“Rasuah dan penyalahgunaan kuasa diagungkan, tetapi festival bir dilihat sebagai contoh kejahatan.”

Beliau merujuk kepada Festival “Better Beer” 2017 yang dilarang oleh pihak berkuasa selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit pihak penganjur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun Khamis lalu berkata, acara itu dibatalkan atas faktor keselamatan kerana pihak polis memperoleh maklumat mengatakan militan merancang untuk membuat sabotaj di festival itu.

Penganjur, MyBeer Malaysia, sebelum ini berkata mereka diberitahu pihak berkuasa pesta bir itu “sensitif dari segi politik”.

Pembatalan itu menyusuli bantahan PAS yang menggelarkan pesta itu “festival maksiat”, sambil mendakwa acara seperti itu akan menjadikan Kuala Lumpur terkenal sebagai pusat maksiat di Asia.


Tambah Zaid, di Malaysia, ulama Islam “tidak suka golongan homoseksual dan liberal, padahal mereka juga ciptaan Tuhan”.

“Mereka akan terus menjadikan kamu lemah dari segi intelek dengan menyekat kamu, tidak memberikan kamu kebebasan untuk belajar dan mengembangkan minda.

“London adalah tempat untuk kamu berpindah. Ramai Melayu sudah pun mendiami London. Bawa keluarga dan sertai mereka (di London).”

Bekas menteri itu juga menambah, hijrah bukanlah sekadar hari sambutan, tetapi komitmen untuk mencari kehidupan baharu.

“Ia bermaksud mencari tempat baharu di mana kamu boleh mencari ilmu dan kejayaan buat keluarga,” katanya.

Menurutnya, walaupun England “negara yang sukakan bir”,ia juga melahirkan lelaki dan wanita berpendidikan tinggi yang menyumbang kepada bidang sains dan kesenian.

“Mereka pencipta yang mengeluarkan ubatan, kejenteraan dan bermacam lagi yang menjadikan hidup lebih baik untuk manusia”

Sementara itu, di Malaysia, tiada tempat untuk ilmu dan kesarjanaan, terutamanya dalam hal keagamaan, katanya.

“Orang yang bercakap tentang Islam di Malaysia adalah sarjana taraf rendah, dan ramai juga yang menjadi jurucakap parti pemerintah.

“Mereka pengampu yang tidak sama kaliber dengan Mu’tazillah, pakar undang-undang dan ahli teologi zaman Abbasiyah yang mendebatkan isu keagamaan seperti konsep tauhid.

“Mereka membincangkan kesukaran yang wujud dalam menyelaraskan kemunasabahan dan wahyu.

“Mereka tidak sibuk dengan festival bir atau kod pemakaian untuk wanita, atau dobi berasingan untuk orang Islam, walaupun pesta dan perayaan sangat terkenal pada zaman khalifah itu,” katanya yang merujuk kepada kontroversi terbaru, termasuklah di Johor di mana dobi layan diri melaksanakan dasar orang Islam sahaja dengan mengehadkan pelanggannya hanya kepada orang Islam.

“Jadi, saya menggesa orang muda Melayu merancang kehidupan mereka sebaiknya. Jangan lakukan kesalahan sama seperti saya. Malaysia sebuah negara Islam tenat yang mengajarkan kamu perkara salah,” katanya.

Dari FMT

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top