.... Mahathir Punca Melayu Berpecah Teruk – PAS | AAKJ



Mahathir perlu berhenti tuduh PAS punca Melayu berpecah, sebaliknya menilai gabungan pembangkang diketuainya sendiri, yang memang cenderung cetus permusuhan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kewujudan pakatan pembangkang kini mencetus pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Tindakan gabungan itu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan sebenarnya memulakan permusuhan dan menyerang PAS secara terang-terangan sekali gus menjurus ke arah perpecahan.

Justeru beliau berkata, tindakan Mahathir menuding jari dengan dakwa PAS sebagai punca perpecahan Melayu adalah tidak tepat kerana gabungan pembangkang diketuainya yang sebenarnya memulakan permusuhan itu.

“Tun (Mahathir) perlu lihat apa yang berlaku dalam gabungan mereka yang kerap melakukan serangan kepada PAS. Mereka yang mengisytiharkan PAN (Parti Amanah Negara) mahu mengambil alih Kelantan.

“Malahan PAN bertanding semua di kerusi PAS, jadi kita dipersalahkan hingga berlaku perpecahan? Di sebalik kita menghulurkan tangan, mereka bertindak ‘memukul’ kita dari arah belakang, berhentilah pukul curi,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan sedemikian pada siri jelajah Timbalan Presiden PAS ke Perlis di Kampung Katong, di sini, malam tadi sebagai mengulas dakwaan Mahathir yang mendakwa PAS sebagai punca orang Melayu berpecah.

Pengerusi Pakatan Harapan itu bahkan mendakwa PAS menjadi penyebab kepada berlakunya pertembungan tiga penjuru pada PRU nanti kerana keengganannya menyertai gabungan pembangkang.

Sementara itu mengulas dengan lebih lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak bermasalah untuk berhadapan PRU ke-14 akan datang secara bersendirian kerana sudah biasa menghadapinya.

“PAS tidak takut dengan kekalahan kerana kita sudah biasa menghadapinya. Kita pernah menang dan kita juga pernah kalah. Kita ditubuhkan bukan semata-mata untuk mentadbir.

“Tetapi PAS sebagai gerakan menegakkan Islam, jika kita kalah (pilihan raya) sekali pun, perjuangan kita masih diteruskan,” kata Tuan Ibrahim. – Agensi/Mynewshub

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top