.... Kedai Dobi "Muslim Sahaja" Cetus Perdebatan | AAKJ




POLISI ‘Muslim sahaja’ sebuah dobi layan diri di Jalan Junid,Muar telah mencetuskan perdebatan antara netizen.

Beberapa keping gambar papan tanda dobi tersebut yang tertera perkataan: “Untuk pelanggan beragama Islam sahaja. Mesra Muslim. Kasut sila tanggalkan di luar”yang diletakkan di luar premis berkenaan telah tular di Facebook.


Perkara tersebut telah menerima respon berbaur daripada netizen; ada yang mengatakan polisi itu ada baiknya kerana kebarangkalian basuhan mereka tidak bercampur dengan unsur najis tidak akan berlaku.


Namun, ada yang mengatakan bahawa perkara itu tidak adil bagi pengguna daripada kaum dan agama yang lain.

Kata pengguna Facebook, Zachary Arshad, sebagai seorang Muslim dia berasa kecewa dengan pendirian dobi tersebut kerana menganggap isu itu mampu memecah belahkan perpaduan antara masyarakat.

“Saya Muslim dan saya rasa benda ini tidak sepatutnya berlaku. Islam tidak mengajar perkara begini. Islam adalah untuk semua, Islam sepatutnya menyatukan kita, bukan meletakkan jurang,” kata Zachary.

Bagaimanapun, terdapat juga sesetengah netizen yang berfikiran terbuka mengenai hal itu.

Kata Suresh Pandian, tidak salah sekiranya pemilik dobi itu mahu menjalankan perniagaannya dengan cara Muslim.

Malah, ada juga netizen yang menyifatkan polisi dobi itu sebagai adil kerana pemiliknya tidak menyatakan perkara yang bersifat rasis.

Sementara itu, badan agama Islam menyatakan bahawa pemilik premis berkenaan bertindak berteraskan haknya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam Johor, Abd Mutalib Abd Rahim berkata tiada kesalahan bagi pemilik premis berkenaan untuk mengenakan peraturan sebegitu kerana ia merupakan haknya sebagai pemilik.

“Mereka yang bukan Islam tidak perlu risau kerana terdapat pilihan untuk menggunakan dobi layan diri yang lain.”


Tambah Mutalib lagi, kerajaan Johor tidak mempunyai rancangan untuk masa hadapan untuk mengenakan peraturan seperti itu bagi semua premis milik pengusaha Muslim.

Dalam pada itu, mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin berkata, beliau mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh pemilik dobi tersebut bagi mengelakkan perasaan was-was pengguna Muslim yang lain.

“Jika ada yang mewujudkan premis sebegitu, maka ianya sesuatu yang bagus kerana terdapat segelintir Muslim yang tidak yakin akan kesucian dobi layan diri.

“Sebagai Muslim, adalah sesuatu yang baik bagi kita untuk menyediakan satu dobi mesra Muslim di mana kesuciannya terjamin. Dalam masa yang sama, kita juga memudahkan sesama Muslim untuk melaksanakan tamggungjawab mereka dalam beribadah,” jelas Tahrir lagi.

Ditanya mengenai konsep perkhidmatan dobi lagan diri dalam Islam, Tahrir berkata pihak premis perlu memastikan pakaian yang dicuci bebas daripada unsur najis ringan mahupun yang berat (najis mughallazah). – MYNEWSHUB.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top