.... Usah Terikut-ikut Semangat Ketam | AAKJ







Ahli UMNO diingatkan supaya tidak menggunakan semangat ketam yang akan menjatuhkan rakan sendiri sebaliknya mengikut semangat berpasukan seperti semut demi memastikan survival UMNO pada masa depan.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara berkias berkata, semangat se­perti ketam itu yang memijak rakan-rakan lain untuk menonjolkan diri tidak akan menguntungkan parti.

“Kalau kita tengok ketam di dalam bakul, ketam akan pijak sesama sendiri sebab nak keluar, akhirnya semua ketam mati ke­rana tiada siapa berjaya keluar.

“Elok ikut seperti semut, berjalan dalam barisan panjang, tidak pula bertembung sesama sendiri malah siap beri salam pula,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Yusoff HM Haniff.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, jika ahli-ahli UMNO berjaya menterjemahkan semangat berpasukan seperti semut, tidak mustahil kejayaan akan terus berpihak kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam konteks Selangor pula, pendekatan melalui media sosial perlu digunakan untuk menarik hati dan minda para pe­ngundi supaya memilih Barisan Nasional (BN) berbanding pembangkang.

“Politik telah berubah, pembangkang dapat menawan Se­langor kerana mereka mengikut trend dengan menanam kebencian pada minda dan hati para pengundi menerusi media sosial.

“Program Jalinan Rakyat yang digunakan oleh kita bagus tetapi komunikasi tanpa lisan menggunakan medium media sosial lebih berkesan untuk penduduk di bandar.

“Orang di bandar tidak suka kita ketuk pintu rumah mereka. Jangan guna pendekatan lama kalau kita tidak ubah sekarang, kita akan rebah,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top