.... Skandal Perjudian Forex: Permohonan Peguam Mahathir Ditolak | AAKJ



Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat skandal dagangan mata wang asing (FOREX) pada sekitar 90-an hari ini menolak permohonan para peguam yang meminta dua daripada ahli panel RCI itu menarik diri daripada siasatan.

Permohonan yang dikemukakan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan peguam R. Sivarasah mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu ditolak oleh Pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ia dilakukan selepas perbincangan dengan empat ahli panel yang lain, atas alasan bahawa mereka sudah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong.

Mohamed Haniff Khatri dan Sivarasah telah memohon supaya Mohd Sidek serta seorang lagi ahli panel, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon, untuk menarik diri.

Ini kerana, tegas mereka, kedua-dua nama itu juga merupakan ahli Pasukan Petugas Khas yang memberi cadangan kepada Jemaah Menteri untuk penubuhan RCI tersebut.

RCI diumumkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada bulan Jun, selepas menerima laporan daripada pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat spekulasi mata wang BNM di antara 1989 hingga 1992.

Skandal forex yang berlaku akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an itu, semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri, menyaksikan BNM mengalami kerugian besar.

Selain Mohd Sidek dan Saw, RCI itu dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Ahli Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young, K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail.

Suruhanjaya itu akan menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan selepas penubuhannya berkuatkuasa dan akan membentangkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top