.... Skandal Forex Bank Negara: Anwar Tahu Bank Rugi | AAKJ



Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang (forex) dialami Bank Negara pada 1990-an, beliau ada memberi penjelasan mengenai kerugian forex kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada awal 1994.

Bagaimanapun Abdul Murad berkata, Anwar sebagai Menteri Kewangan ketika itu, memberi komen sekiranya kerugian sebenar urus niaga forex Bank Negara Malaysia didedahkan kepada umum, beliau perlu meletak jawatannya.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta saya untuk turut serta dalam penerbangan beliau ke Hawaii untuk memberi penjelasan mengenai kerugian urus niaga forex seperti yang diarahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu Tan Sri Jaffar Hussien,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Penasihat Bank Negara Malaysia dari 1 April 1994 hingga 1 Feb 1999, berkata demikian ketika membaca kenyataan saksinya pada prosiding suruhanjaya itu yang bersidang di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Abdul Murad berkata sebelum memberi penjelasan kepada Anwar berkenaan kerugian dalam urus niaga forex, beliau terlebih dahulu telah memaklumkan kepada Jaffar berkenaan hal itu ketika lawatannya ke Chemical Bank di New York bahawa kerugian BNM dengan Chemical Bank ketika itu lebih kurang RM715 juta (US$170 juta).

Ketika ini prosiding RCI ini sedang berjalan diketuai oleh Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan semalam ada tiga saksi dipanggil memberikan keterangan di hadapan anggota panel termasuk Abdul Murad.

Mohd Sidek dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Pihak RCI juga diberitahu bahawa kerugian yang dialami BNM berjumlah RM31.516 bilion dalam urusniaga mata wang asing bagi tempoh 1991 hingga 1994.

Selain Abdul Murad, dua lagi saksi ialah bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf dan bekas Auditor Dalaman BNM, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin.

Prosiding yang akan membongkar penglibatan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dalam Forex itu akan bersambung Khamis ini.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top