.... PRU-14: Gerakan Umum Nama Tiga Calon | AAKJ





Gerakan hari ini mengumumkan tiga nama calon partinya yang akan bertan­ding bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon-calon ber­kenaan terdiri daripada Naib Presiden, Datuk Dr. Dominic Lau di Parlimen Batu; Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Lau Hoi Keong di Segambut dan Ke­tua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ong Siang Liang di Kepong.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, ketiga-tiga mereka merupakan antara 45 senarai nama calon yang berpotensi bertanding mewakili parti itu bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan telah dihantar untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, senarai nama calon diserahkan kepada SPRM untuk tujuan penyemakan bagi memastikan mereka tiada rekod dan bebas daripada rasuah.

“Selepas mendapati prestasi pada pilihan raya umum lalu tidak begitu memuaskan, kami membuat keputusan memper­kenalkan penyelaras parti dengan lebih awal. Strategi kali per­tama yang dilakukan Gerakan membolehkan rakyat menilai dengan teliti dan memberi peluang kepada calon yang juga penyelaras parti bagi Parlimen dan DUN di Wilayah Persekutuan.

“Jika prestasi tidak memuaskan sepanjang tempoh berkenaan, kita berhak untuk membuat pertukaran. Saya akui bukan senang untuk melaksa­nakan strategi demikian kerana dikhuatiri boleh menimbulkan masalah dalam kalangan ahli parti serta antara komponen.

“Namun, ini adalah langkah terbaik dan apa jua masalah kita harap dapat selesaikan secara baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persida­ngan Perwakilan Gerakan Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Keong berkata, pihaknya yakin dapat memenangi beberapa kerusi di Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang dalam PRU-14.

“Inilah masanya untuk pemimpin dan ahli parti membuktikan diri mereka di kawasan seperti Batu, Segambut dan Kepong. Ketiga-tiga ahli yang bekerja sebagai penyelaras di kawasan itu telah diterima baik oleh rakyat. Contohnya, di Kepong, Siang Liang telah bekerja keras dan penduduk di sana selesa dengan kehadiran beliau.

“Walaupun sebelum ini, BN kehilangan kira-kira 40,000 undi di sana (Kepong), namun Siang Liang memberitahu saya, Gerakan mampu menawan semula kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Gerakan percaya sokongan pengundi Cina akan bertambah melebihi 30 peratus pada PRU-14 berbanding 13.4 peratus yang dilaporkan pada pilihan raya umum lalu.

“Pada PRU-14 akan datang, Gerakan yakin akan ada peningkatan sokongan pengundi Cina berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan oleh pihak kami dan kerja keras selama ini. Kita mampu bangkit dan percaya akan dapat keputusan yang lebih baik daripada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Rakyat Berhad (KRB), Siew Keong menggesa pembangkang agar tidak mempolitikkan isu pelaburan asing dari mana-mana negara ke Malaysia demi kepentingan peribadi masing-masing.

Kata beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, pembangkang perlu mendapatkan maklumat tepat dan terperinci sebelum bertindak mencetuskan sebarang salah faham mengenai isu tersebut.

“Bagi saya, tidak kira dari negara mana datangnya pelaburan, apa yang penting adalah hasil positif yang diterima dapat dinikmati oleh semua rakyat,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top