.... Mak Nyah Juara Acara Sukan Wanita | AAKJ



Seminggu lagi, kaum wanita Amerika Syarikat akan menyambut Hari Kesamarataan bagi Wanita atau Women’s Equality Day yang bakal berlangsung pada 26 Ogos ini. 

Tarikh tersebut merupakan ulang tahun pengesahan bagi Pindaan Ke-19 dalam perlembagaan mereka yang memberikan hak mengundi kepada wanita.[1] Agenda perjuangan hak kesamarataan ini dilihat semakin ekstrem apabila mereka mula menuntut kesamarataan secara total sekalipun hak tersebut mencabul norma sosial manusia. 

Ya, memang benar. Setiap manusia di dunia ini berhak mendapat layanan yang sama rata dan adil daripada segenap aspek kehidupan tanpa didasari perbezaan gender. 

Prinsip kesamarataan ini meliputi semua perkara seperti pembahagian tugas, peranan dan tanggungjawab yang seimbang antara lelaki dan perempuan kepada keluarga, masyarakat serta bangsa dan negara. 

Sungguhpun terdapat perkara yang menyalahi prinsip ketamadunan sesebuah masyarakat, namun demi kesamarataan, semuanya mahu dituntut. 

Kini, trend perjuangan terbaru mula bercambah di mana mereka menuntut kesaksamaan gender yang mahu menyamakan hak antara lelaki dan wanita. 

Dalam erti kata lain, apa yang dinikmati atau boleh dibuat oleh lelaki, perempuan juga mahukan perkara yang sama tanpa mengambil kira naluri keperluan dan sifat semula jadi kedua-dua golongan ini. Pemikiran tersebut telah melampaui batas dan seolah-olah meletakkan wanita pada tempat yang merebut peranan lelaki. 

Secara perlahan, pemikiran seperti ini mula merasuk ke dalam minda masyarakat Islam kita. 

Buktinya, ada wanita yang mahu menjadi imam dan bilal masjid seperti kaum lelaki. Zuriani Tan Sri Khalid atau lebih dikenali sebagai Ani Zonneveld pernah mencetuskan kontroversi dengan menjadi bilal di masjid liberal, Berlin. Jelas secara terang kumpulan ini cuba menghalalkan kebatilan, kali ini atas nama kesamarataan gender yang jelas bercanggah dengan Islam. 

Hal ini sungguh tidak masuk akal! Aduhai kalian, keadilan tidak bermaksud kesamarataan secara total. 

Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam mengiktiraf perbezaan antara lelaki dan perempuan, terutama dari segi kekuatan fizikal. Justeru, sesetengah pekerjaan lebih sesuai untuk lelaki dan sesetengahnya lebih sesuai untuk wanita. 

Sebagai contoh, pekerjaan sebagai buruh kasar membina bangunan tinggi sudah tentu lebih sesuai untuk kaum lelaki. Adakah dalam hal ini wanita juga mahukan hak yang serupa?[2]. 

Atas nama tuntutan hak kesamarataan yang melampau, dikatakan wanita dan lelaki bebas memilih gender berdasarkan kecenderungan seksual masing-masing. 

Wanita yang mahu menjadi lelaki dikenali sebagai transman dan lelaki yang mahu menjadi wanita pula dikenali sebagai transwoman. Tidak hairanlah jika lelaki pun ingin dipanggil “Jelita” dan merebut anugerah “Wanita Berani Antarabangsa”. 

Beberapa bulan yang lepas, Gavin Hubbard yang merupakan atlet mak nyah telah memenangi acara sukan angkat berat bagi kategori wanita di Australia, Melbourne sedangkan dia adalah seorang lelaki. 

Hal ini telah mencetuskan perdebatan dan pertikaian tentang keadilan dalam acara sukan tersebut.[3] Mana tidaknya, sudah tentu kudrat seorang lelaki itu lebih kuat berbanding dengan wanita yang fitrahnya lembut. Kesamarataan yang tiada limitasi ini jelas menindas kaum wanita dan menafikan kebolehan yang dimiliki oleh wanita. 

Wahai wanita, inikah kesamarataan yang anda mahukan? Ramai masyarakat pada hari ini melihat bahawa agenda pembebasan wanita itu dimulakan oleh Barat. Ramai juga yang melihat bahawa perjuangan hak kesamarataan dan kebebasan wanita hanya bermula pada abad ke-20. 

Hakikatnya, hak kebebasan wanita itu telah bermula sejak kedatangan Islam lagi.[4] Islam tidak pernah menganggap wanita sebagai golongan kelas kedua sepertimana yang ditafsirkan oleh tamadun lain. 

Malah, kedatangan Islam telah mengangkat martabat dan kedudukan wanita dengan memberi hak ekuiti yang seimbang dari segenap sudut. Khabar angin yang mendakwa wanita dikongkong di bawah Islam hanyalah momokan yang tidak berasas! 

[1] http://www.nwhp.org/resources/ commemorations/womens- equality-day/ 

[2] Dr. Mohd Roslan Mohd Nor. (2011). Salah Faham Tentang Kedudukan Wanita Muslim. um.edu.my. 

[3] http://www.theblaze.com/news/ 2017/03/21/transgender- weightlifter-wins-womens- competition-sparking-debate- on-fairness/ 

[4] Dr. Mohd Roslan Mohd Nor. (2011). Salah Faham Tentang Kedudukan Wanita Muslim. um.edu.my.

Menara

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top