.... Kisah Lucu Di Majlis Perasmian ECRL | AAKJ



SEMUA maklum tugas sebagai menteri memang agak sibuk dengan jadual aktiviti padat terutama perlu menghadiri pelbagai majlis rasmi apatah lagi melibatkan protokol yang sudah ditetapkan.

Tidak ketinggalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang merupakan antara kenamaan majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kotasas, Kuantan, Pahang pada Rabu.

Projek prasarana pengangkutan awam bernilai RM55 bilion itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai usaha kerajaan dalam pemodenan sistem rel di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

ECRL bakal mengurangkan masa perjalanan rel dari Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dalam masa kurang daripada empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya.


Majlis penuh bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Apa yang menarik, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memuat naik gambar Ahmad Shabery pada majlis berkenaan yang memaparkan Ahli Parlimen Kemaman itu ceria tersenyum.



Sekali pandang, mungkin tiada apa yang unik sementelahan mungkin gembira kawasan beliau bakal dilalui tren ECRL moden setaraf dengan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) di wilayah Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Namun Abdul Rahman menerusi catatan akaun Twitter beliau menulis: “Ada cerita di sebalik baju tu!” sekali gus menceritakan pengalaman lucu Ahmad Shabery yang mungkin tertinggal kemeja untuk majlis perasmian tersebut.

Bayangkanlah bagaimana perasaan cemas si menteri itu apabila menyedari kemeja seragam protokol pada acara berkenaan tiada dalam kenderaannya tetapi beliau tetap perlu hadir dalam majlis tersebut walau apa pun berlaku!

Mujur Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan secara kebetulan ada bawa baju simpanan berkenaan sudi meminjamkan kepada Ahmad Shabery dan lebih menarik, tiada siapa sedar kerana nama depan mereka juga sama.

Meskipun memang berlainan ideologi politik, kesediaan Timbalan Mursyidul Am PAS itu membantu Ahli Majlis Tertinggi UMNO tersebut ketika dalam waktu kecemasan turut mendapat pujian daripada Abdul Rahman sendiri.

Secara berseloroh, Ahmad Shabery dalam kicauan Twitter menulis, mulanya dia mahu meminjam kemeja simpanan itu daripada Abdul Rahman sebelum hasratnya dibatalkan setelah saiz terlebih besar pula. – Mynewshub

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    1. Perkongsian ini sangat positif. Sesuatu yang kita perlukan dalam keadaan sibuk masakini. Terbaik.

      ReplyDelete

     
    Top