.... Ikan Naik Ke Darat Di Sedili | AAKJ



KOTA TINGGI – Insiden ikan terdampar di pantai Tanjung Sedili, di sini yang tular menerusi laman sosial sehingga ada yang menyatakan ia petanda akan berlaku bencana tsunami, adalah tidak benar.

Menurut laporan beberapa media tempatan hari ini, Ketua Kampung Tanjung Sedili, Ibrahim Yahaya, berkata berita konon ikan berkenaan tidak terdampar sendiri ke pantai, sebaliknya adalah hasil kegiatan memukat oleh nelayan.

Ujarnya, gambar yang tersebar itu sebenarnya dirakam pada Selasa lalu di Pantai Telok Mahkota dan bagi penduduk tempatan ia bukanlah sesuatu perkara baharu.

“Ia berlaku kelmarin, semalam saya tinjau ke lokasi sudah tidak ada ikan yang terdampar. Ikan-ikan ini adalah sisa daripada hasil tangkapan nelayan yang memukat.

“Kebanyakan udang, ikan yang bersaiz besar sudah diambil nelayan dan yang tinggal hanyalah anak ikan dan ikan bersaiz kecil yang tidak boleh dikomersialkan.

“Tambahan pula mereka yang memukat kebanyakan orang luar. Jadi, apabila hasil pukat ditarik ke pantai dan bila terlalu banyak ikan kecil mereka tinggalkan sahaja.



“Apabila tular cerita konon ikan bersepah di pantai, ada cakap ikan naik ke pantai pula, ia adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kata Ibrahim, sejak tular menerusi laman sosial kejadian yang berlaku itu, beliau ada juga menerima pelbagai pertanyaan dari masyarakat luar.

Namun katanya, bagi penduduk setempat sendiri, memang tiada perkara pelik dan luar biasa sebaliknya ia adalah suasana kelaziman yang berlaku selepas nelayan memukat.

“Saya sudah tinggal di sini berpuluh tahun tak pernah jumpa kejadian ikan naik sendiri ke darat. Kita nasihatkan kepada mereka yang mengandaikan perkara bukan-bukan bakal terjadi ekoran viral gambar terbabit dihentikan.

“Ini bukan sekali berlaku malah sejak dahulu lagi cuma beza dulu tak ada tularkan. Ini zaman teknologi sekejap sahaja sudah tular tetapi apa yang diperkatakan itu tidak benar,” katanya. – Agensi/Mynewshub

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top