.... Foto PM Najib Laung Merdeka Gaya Tunku Abdul Rahman | AAKJ



Dataran Merdeka bergema dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali – sama seperti perisytiharan Hari Kemerdekaan di lokasi serupa, 60 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melaungkan ungkapan keramat itu, memilih gaya Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tanggal 31 Ogos 1957.

Malah, landskap Dataran Merdeka diubah suai menjadi seolah-olah suasana enam dekad lalu bagi mengembalikan nostalgia sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tarikh keramat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan menjadi negara berdaulat bebas daripada pentadbiran British.

Acara persembahan khas Hari Kebangsaan 2017 yang mengimbau pra kemerdekaan dan Hari Kemerdekaan dimulakan sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang disambut Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan 2017 serta barisan menteri Kabinet dan perwakilan asing.

Kemeriahan sambutan kemerdekaan memuncak apabila ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang membanjiri Dataran Merdeka bagi memeriahkan perarakan Hari Kebangsaan 2017, hari ini.

Bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, kemeriahan sambutan dan semangat kecintaan jelas terpancar di raut wajah peserta dan pengunjung yang hadir ke lokasi terbabit seawal jam 6.30 pagi.

Semangat kecintaan itu terbukti apabila kira-kira 18,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian bagi lapan segmen dianjurkan tahun ini mencakupi kewarganegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan komponen rakyat bersepadu.

Dataran Merdeka bergema dengan nyanyian Negaraku yang mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang oleh bekas Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohd Sarif Kalam dan Pegawai Waran 1 (Bersara), Oliver Culvelt, serentak dengan 14 das tembakan kehormat melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara sebelum Perdana Menteri mengambil tempat di tengah pekarangan Dataran Merdeka untuk melaungkan Merdeka tujuh kali.

Tidak ketinggalan persembahan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pentomen Ops Tapah F Team diikuti dengan persembahan kawad senyap oleh Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) membabitkan 1,000 anggota.

Acara perbarisan Hari Kebangsaan 2017 yang menampilkan lapan kontinjen utama menggambarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang turut disertai kontinjen Sukan Sea 2017 dan pasukan keselamatan.

Antara yang mengambil bahagian ialah kontinjen Sukan SEA yang muncul juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), berakhir semalam.

Orang ramai dilihat teruja dengan perarakan aset darat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysis (PDRM), selain pertunjukan udara melintasi kawasan Dataran Merdeka.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top