.... Wayang Kulit Kit Siang Sudah Dapat Dijangka | AAKJ





Sandiwara Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bersara kononnya bagi menyelamatkan parti itu bukan sesuatu yang mengejutkan malah bentuk permainan politik seperti itu sudah boleh dijangka.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, parti itu suka menggunakan cara berpolitik meraih simpati, selain akan menyalahkan pihak lain terutama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO walaupun kesalahan itu berpunca daripada mereka sendiri.

Beliau turut mempersoalkan hasrat Kit Siang mahu membuat jelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan dirinya bersara.

“Kit Siang perlu cermin diri dia dahulu. Dia fikir dia siapa? Isu berkenaan pembatalan DAP yang cuba ditimbulkan mereka sendiri adalah membabitkan partinya sahaja bukan isu negara, jadi beliau hanya perlu panggil ahli-ahli partinya sahaja untuk mendapatkan pandangan mereka dan bukannya mengheret rakyat keseluruhannya.

“Sudah berpuluh-puluh tahun dalam dunia politik, DAP suka menggunakan sentimen simpati dan cuba menyalahkan pihak lain dan menganggap mereka menjadi mangsa politik kerajaan. Jadi sandiwara terbaharu ini hanya satu helah bukan sesuatu yang luar biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tunku Aziz berkata, hasrat Kit Siang untuk menjelajah ke seluruh negara adalah sesuatu yang mengarut sekali gus membuktikan beliau seorang pemimpin diktator yang kononnya mampu untuk memerintah negara.

Sedangkan, kata beliau, DAP merupakan parti paling banyak masalah dalaman, justeru, Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng perlu menyelesaikan hal ehwal ‘rumahnya’ sendiri terlebih dahulu lebih-lebih lagi jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandang anaknya itu masih tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Niat DAP sebenarnya mahu mengalihkan isu terhadap masalah dalaman kronik yang dihadapi. Ini satu contoh pemimpin sebuah parti yang bankrap idea, jadi mereka buat cara sebegini untuk raih simpati.

“Samalah seperti apa yang pernah dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu dan menyatakan bahawa rakyat masih mahu beliau menjadi Perdana Menteri lagi, jadi macam mana boleh beliau berhenti?

“Tiada siapa yang bercakap mengenai pembatalan pendaftaran DAP kecuali Kit Siang dan penyokongnya sahaja. Mereka cuba tetapkan penggera sendiri kerana mereka tahu lambat-laun mereka akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top