.... Tak Ada Tempat Lain, Mahathir Berpaut Pada Anwar Pula | AAKJ





Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad ibarat seorang yang sedang lemas di air sungai deras dan terpaksa bergayut walau kepada sehelai rumput kering.

Itu pandangan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berhubung pengumuman Mahathir menyokong Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut beliau, dendam Mahathir untuk menjatuhkan Najib bercampur dengan ketakutannya terhadap Anwar yang boleh mendedahkan pelbagai salah lakunya semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan Mahathir membuat pusingan U menyokong Anwar.

“Veteran UMNO tidak terkejut Mahathir membuat keputusan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan terdesak, Mahathir merelakan Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun hati kecilnya amat tidak bersetuju dengan keputusan itu.

“Pertaruhan nyawanya bergantung kepada sehelai daun kering yang hanyut bersamanya di air yang deras. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir semalam membuat pengumuman mengejutkan apabila beliau menyatakan sokongan keatas Anwar menjadi Perdana Menteri selepas hasratnya untuk mengetuai Pakatan Harapan dibantah hebat sebilangan besar ahli dan penyokong PKR sebelum ini.

Sebilangan pihak bagaimanaun percaya pengumuman itu Mahathir itu merupakan strategi politik beliau untuk meraih sokongan akar umbi PKR yang masih kuat menentangnya walaupun beliau kini bersama pembangkang.

Mahathir sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 1998 memecat Anwar sebagai Timbalannya secara zalim kerana mendakwa kononnya Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual dan rasuah.

Anwar yang berang kerana kecurangannya terdedah kemudian melancarkan serangan balas dengan mendedahkan pula kecurangan Mahathir selaku Perdana Menteri melalui siri gerakan reformasi.

Gerakan reformasi Anwar waktu itu mendapat bantuan pembangkang yang mengambil kesempatan daripada dendam Anwar ke atas Mahathir untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN)

Mustapha berkata, Mahathir juga mengharapkan Anwar yang berkemungkinan besar dipanggil sebagai saksi dalam penyiasatan skandal forex berpuluhan tahun lalu tidak akan mendedahkan semua rahsia keterlibatannya ketika itu.

“Soalnya ialah, apakah Anwar dan keluarganya akan memaafkan Mahathir setelah sekian lama mereka menderita akibat tindakan zalim Mahathir,” katanya.

- Mynewshub

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top