.... Sesat: Saidina Abu Bakar Dikatakan Melanggar Prinsip Al-Qur’an | AAKJ





Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. melanggar prinsip Al-Qur’an dengan tindakannya memerangi puak Arab yang dituduh murtad. Demikian menurut penulis, Farouk A Peru, yang turut mendakwa bahawa negara yang dipimpin oleh orang Islam dan prinsip Islam tidak menjamin keselamatan sesebuah negara berdasarkan sejarah Islam sendiri. 

Memetik kata-katanya seperti yang disiarkan oleh portal Free Malaysia Today, Farouk mendakwa bahawa selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, prinsip jaminan keselamatan kepada Muslim dan bukan Muslim mula tergugat, bermula dengan kepimpinan Khulafa Ar-Rasyidin. 

Menurut Farouk A Peru yang pernah menggemparkan negara dengan cadangan solat Jumaat pada hari Sabtu, kepimpinan yang diterajui oleh para sahabat Nabi Muhammad S.A.W ini bukan sahaja mewujudkan peperangan sesama masyarakat, bahkan ada sahabat Nabi menggunakan kuasanya sehingga melanggar prinsip Al-Qur’an. 

“Apabila baginda (Nabi Muhammad S.A.W) wafat dan kepimpinan negara Islam jatuh ke tangan Khulafa Ar-Rasyidin, prinsip (jaminan keselamatan) ini mula bertukar. Menurut sejarah Islam sendiri, Abu Bakar As-Siddiq telah memulakan gerakan “Ar-Riddah” di mana negara Islam memulakan perang dengan puak Arab yang dituduh murtad, walaupun ia bukan prinsip Al-Qur’an yang menekankan “tiada paksaan dalam agama” (Surah Al-Baqarah, Ayat 256). 

Mengapa Abu Bakar yang diredhai Tuhan (seperti dikatakan Surah At-Tawbah, ayat 100) boleh melakukan sedemikian, tetapi itulah yang diceritakan sejarah Islam sendiri.” Tambahnya lagi, sejarah Islam sendiri membuktikan bahawa negara Islam sendiri tidak selamat. Sebagai contoh, pemimpin Islam daripada zaman Khulafa Ar-Rasyidin dan khilafah telah mengamalkan dasar nepotisme, para sahabat berperang sesama sendiri, pembunuhan pemimpin dan menggunakan empayar Islam untuk kepentingan diri sendiri. 

“Selepas itu, tiba pula kepimpinan Umar Al-Khattab. Umar sekurang-kurangnya mempunyai sebab untuk menjajah negara lain iaitu untuk membebaskan puak yang ditindas pemerintah. Tetapi adakah negara Islam sendiri selamat? Sukar untuk dijawab kerana Umar sendiri telah dibunuh! Bagaimana negara boleh dikatakan selamat kalau ketuanya sendiri dibunuh?” 

“Kita perlu mengasingkan prinsip Islam dan orang Islam. Orang Islam tidak semestinya mengamalkan prinsip Islam. Lihatlah negara kita, walaupun sarat dengan “Islamisasi” di mana budaya tempatan dipengaruhi kononnya budaya Islam, kita masih berpegang kepada keistimewaan sesebuah kaum. Mengapa prinsip Islam yang memperjuangkan keadilan sosial terus dibelakangkan dan secara terang-terang melanggar amaran Al-Quran?” dakwa Farouk A Peru lagi.

-Menara.my

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top