.... PPBM Bergolak: Syed Saddiq Tuduh Hamidah Osman Agen UMNO | AAKJ



Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman hari ini menggesa tindakan disiplin diambil ke atas Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana membuat beberapa “tuduhan tanpa asas” ke atasnya.

Hamidah berkata beliau akan menulis surat rasmi kepada lembaga displin PPBM.

“Syed Saddiq tidak boleh membuat tuduhan liar dan tidak berasas tanpa memberi sedikit pun bukti,” katanya kepada FMT.

“Saya harap lembaga displin akan bertindak kerana jika diabaikan, dan ahli parti bebas menyerang satu sama lain secara terbuka, parti akan musnah.

“Lebih-lebih lagi Syed Saddiq seorang ketua Pemuda, jawatan penting parti.”

Pada 28 Mei, Syed Saddiq menuduh Hamidah menjadi dalang di sebalik tindakan 1,000 ahli PPBM di Perak keluar parti.

Beliau juga mendakwa Hamidah, yang pernah mengetuai Wanita Umno Gopeng, seorang hipokrit dan kecewa dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak menamakannya pengerusi negeri Perak.

“Saya tahu dia (Hamidah) punca keadaan ini. Saya akan berkata secara terus terang: Saya mahu Hamidah letak jawatan.

“Dia perlu berhenti jadi pengecut dengan menghantar askarnya ke depan dan mengorbankan orang yang baik bagi tujuan peribadi.

“Jika anda masuk parti untuk jawatan, sila berambus,” kata Syed Saddiq kepada FMT.

Semalam, Syed Saddiq mengulangi tuduhannya dan berkata Hamidah seorang agen Umno.

Hamidah berkata beliau selama ini berdiam diri atas kepentingan parti.

“Tetapi sudah 2 kali dia menyerang saya, dan ini sudah keterlaluan.

“Siapa sebenarnya agen Umno, dia atau saya?” soal Hamidah.

Hamidah menambah, pertanyaannya menerusi pesanan teks kepada Syed Saddiq tidak dijawab.

Hamidah menjelaskan, beliau bertemu dengan 1,000 ahli PPBM di Perak yang keluar parti dan menasihati mereka supaya kekal menentang Umno dan Datuk Seri Najib Razak.

“Syed Saddiq perlu berterimakasih kepada saya atas initiatif ini, jika tidak ahli akan pulang ke pangkuan Umno. Dan dia perlu berbuat perkara sama dengan ahli sayapnya yang meninggalkannya untuk ke Umno,” katanya merujuk 200 ahli Pemuda PPBM yang meletak jawatan bulan lalu.


FMT

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top