.... Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian, Terengganu Sudah Bersiap Sedia | AAKJ





Seluruh anggota dan perwakilan UMNO di Terengganu kini bersiap sedia untuk berkongsi buah fikiran demi kebaikan parti pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang bermula minggu depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, yang juga Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata sehingga kini tiada sebarang masalah dan isu dalaman dibangkitkan.

“Kita tiada masalah untuk mengadakan mesyuarat dan baru-baru ini kita telahpun selesai mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan amat menggembiarakan apabila mendapat maklumat bahawa sebahagian besar atau 98 peratus cawangan kita berjaya mengadakan mesyuarat.”

“Cuma ada beberapa cawangan yang tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana sebahagian ahli Puteri telah beralih menjadi ahli Wanita yang menyebabkan bilangan ahli sesetengah cawangan tidak cukup, jadi tidak boleh mengadakan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Pelancongan Negeri di sini hari ini.

Tambahnya, menerusi mesyuarat itu juga, didapati sokongan dan semangat anggota terhadap parti semakin berkobar-kobar meskipun tiada sebarang pemilihan berlangsung.

“Selalunya dalam mesyuarat yang ada pemilihan akan menjadikan ia lebih gamat tetapi kali ini ia sama sahaja. Dengan semangat dan tanpa sebarang isu, ahli-ahli UMNO juga begitu bersemangat malah kita dapat lihat sokongan luar biasa ahli terhadap kerajaan. Tiada isu politik dan dalaman, jika pilihan raya (umum diadakan) esok sekalipun kita telah bersedia sebenarnya,” katanya.

Persidangan Perwakilan UMNO di negeri ini dijadual bermula secara berperingkat pada 14 Julai sehingga 25 Ogos.

Sementara itu dalam isu berlainan, Ahmad Razif berkata sekiranya berlaku pencerobohan hutan dan terdapat unsur-unsur mempengaruhi Orang Asli, pihak terbabit boleh membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

“Kita serah kepada perundangan. Kita juga bertindak tegas dan telah banyak kita dah tangkap? dalam perkara ini kita serah kepada Jabatan Perhutanan dan PDRM untuk ambil tindakan tanpa mengira siapa dan status,” katanya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top