.... Pemilihan Jawatan Kuasa Pusat 2013 DAP Tidak Sah - RoS | AAKJ





Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baharu. 

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata ia berikutan pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama DAP menerusi pemilihan semula parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang.

KENYATAAN MEDIA YBHG. DATO’ MOHAMMAD RAZIN BIN ABDULLAH, PENDAFTAR PERTUBUHAN MALAYSIA MENGENAI STATUS PEMILIHAN SEMULA CEC PARTI DAP. 

07 JULAI 2017
PUTRAJAYA

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh beberapa orang pemimpin DAP mengenai status pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang telah diadakan pada 29 September 2013 dan juga kenyataan yang telah diberikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri pada 3 Julai 2017, yang menyebut bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan berhubung dengan isu yang dibangkitkan tersebut.

Dalam hal ini, saya telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri dan beliau telah menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), hendaklah berlandaskan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan Parti DAP itu sendiri.

Ingin ditegaskan di sini bahawa pihak JPPM menganggap bahawa Parti DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini pihak JPPM tidak berniat sama sekali untuk membatalkan Parti DAP. Bersabit dengan aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan terhadap proses-proses pemilihan semula CEC DAP yang dijalankan pada 29 September 2013, pihak JPPM berpendirian bahawa pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula ini, adalah tidak sah dari segi undang-undang. Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15hb Disember 2012 iaitu yang melibatkan seramai 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

Justeru, JPPM mengambil pendirian supaya pihak Parti DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC yang baharu yang sah dan telus bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 orang anggota CEC yang sah dan diiktiraf. Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP. Ini amat penting di sisi undang-undang memandangkan pelantikan bagi jawatan utama parti mempunyai peranan yang penting sebagai wakil parti yang mempunyai autoriti untuk menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihanraya yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

Sehubungan dengan itu, JPPM ingin menegaskan bahawa arahan akan dikeluarkan kepada pihak DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu untuk memilih 20 orang anggota yang sah, berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan ini diiktiraf oleh JPPM.

#TAMAT#

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)
Kementerian Dalam Negeri
7 Julai 2017


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top