.... Pas Tidak Perlu Runding Dengan PKR | AAKJ





Pas tidak akan memberi ruang­ kepada PKR untuk berunding berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) berkata, soal pembahagian kerusi terutama di Kelantan tidak wujud kerana hubungan parti itu dengan PKR mahupun DAP sudah putus.

Dalam masa sama, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa menghadapi PRU-14 dan hanya menunggu perisytiharan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri.

“Kita sudah bersedia jika Perdana Menteri isytihar bubar Parlimen bila-bila masa tahun ini tetapi kalau tahun hadapan itu lebih baik.

“Sekarang kita sudah putus dengan PKR, hubungan kita de­ngan PKR dan DAP sudah tidak ada, jadi tidak berbangkit isu pembahagian kerusi, insya-Allah Kelantan ini Pas akan bertanding di semua kerusi, negeri lain pun sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Sebagai sekutu dalam perebutan 45 kerusi DUN Kelantan pada PRU-13, Pas bertanding di 40 kerusi manakala PKR lima buah kerusi bagi memastikan pertembungan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Hasil pakatan itu, Pas berjaya memenangi 32 kerusi, PKR satu manakala BN menawan 12 kerusi selebihnya.

Pas bagaimanapun kehilangan satu kerusi lagi apabila memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa daripada parti itu tahun lalu.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top