.... Mahathir Sudah Berusia 92 Tahun, Patut Bermuhasabah Diri | AAKJ





Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-92 tahun hari ini diminta bermuhasabah diri terhadap segala tindakan beliau.

Penganalisa politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, Dr. Mahathir yang pernah menerajui kepimpinan negara selama 22 tahun perlu merenung diri sedalam-dalamnya terhadap tindak tanduk beliau yang mencetuskan kontroversi.

“Sudah baiknya Dr. Mahathir muhasabah diri. Merenung diri beliau sedalam-dalamnya, sejujur-jujurnya apa yang sebenarnya berlaku.

“Adakah orang lain yang salah atau dirinya yang salah. Hanya dengan itu saya fikir dia boleh membetulkan langkah-langkah meniti senja,” kata Dr. Jeniri ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu, tindak-tanduk Dr. Mahathir terutama terhadap bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini begitu bertentangan semasa beliau menerajui negara.

“Apa yang kita lihat pada hari ini segala kenyataan dan tindakannya jelas bertentangan dengan apa yang telah beliau lakukan dan keluarkan ketika menjadi perdana menteri.

“Waktu dia mahu memecat Anwar dia telanjangkan segala-galanya. Segala kata-kata yang telah diluahkan, dijilatnya kembali. Ini menunjukkan bahawa sebenarnya kenyataan beliau tidak boleh dipercayai,” kata Dr. Jeniri.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam kenyataan kepada The Guardian ketika ke London baru-baru ini dilaporkan menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri sekiranya beliau mendapat pengampunan diraja.

Jelas Dr. Jeniri adalah satu tragedi sekiranya perubahan sikap Dr. Mahathir terhadap Anwar merupakan cara untuk beliau meminta maaf kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

“Kalau itu betul alangkah sedihnya. Ini satu tragedi sebenarnya kepada bangsa kita.

“Kalau betul apa yang dia lakukan itu satu yang tidak betul, maka Dr. Mahathir bukan sahaja harus memohon maaf kepada Anwar tetapi perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan mendedahkan apa sebenarnya yang beliau lakukan pada tahun 1999,” tegas Dr. Jeniri.

Tegas Dr. Jeniri, segala tindak tanduk Dr. Mahathir ketika ini telah menghancurkan integriti beliau sebagai negarawan.

“Saya fikir integriti dan wibawa beliau sebagai negarawan sudah hancur dan musnah bukan kerana orang lain tetapi oleh Dr. Mahathir sendiri.

“Jadi sudah tiba masa untuk rakyat mempertikaikan dan mempersoalkan segala kenyataan beliau kerana kalau apa yang dilakukan Dr. Mahathir ketika ini ditelan bulat-bulat oleh rakyat, saya fikir ini bukan sahaja merosakkan politik kita tetapi boleh mengelirukan rakyat,” kata Dr. Jeniri

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top