.... Kes Najib Saman MKini, Hakim Nasihat Selesaikan Di Luar Mahkamah | AAKJ





Hakim Mahkamah Tinggi di sini menasihatkan pihak-pihak dalam kes saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd (Mkini) dan dua editornya berhubung siri posting pembaca yang diterbitkan dalam laman web mereka diselesaikan di luar mahkamah.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf selaku plaintif berkata, Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat cadangan itu memandangkan kes berkenaan mengambil masa yang lama sejak difailkan tiga tahun lepas.
“Tunggu pihak Mkini jika ada penyelesaian di luar mahkamah,\” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes itu di dalam kamar di sini hari ini.
Beliau berkata mahkamah juga menetapkan 19 Sept untuk pengurusan lanjut kes itu sementara menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan berhubung isu sama ada penjawat awam boleh atau tidak mengemukakan saman atas kapasiti peribadi.
“Mahkamah Tinggi memutuskan wajar untuk menunggu pelupusan kebenaran merayu dalam kes Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap Utusan, NSTP dan beberapa yang lain di Mahkamah Persekutuan sebelum menetapkan tarikh untuk pendengaran permohonan defendan untuk ketepikan saman plaintif,” katanya.
Najib, yang mengemukakan saman itu atas kapasiti peribadi, dan Ab Rauf, memfailkan saman fitnah itu terhadap ketiga-tiga defendan berhubung siri posting pembaca yang diterbitkan dalam laman web mereka.
Najib dan UMNO menyaman Mkini Dotcom, Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan, bekas ketua pengarang Fathi Aris Omar kerana kompilasi pembaca komen dalam 2 artikel bagi ruangan ‘Yoursay’ yang disiarkan pada 14 Mei, iaitu ‘A case of the PM reaping what he sows’ dan ‘How much will Najib spend to keep Terengganu?.
Mereka mendakwa artikel itu telah mencemarkan reputasi mereka dan menimbulkan andaian bahawa UMNO adalah tidak kompeten sebagai sebuah badan politik dan tunjang Barisan Nasional.
- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top