.... Kenapa DAP Takut Dedahkan Nama Perwakilan? | AAKJ





DAP perlu membuktikan ketelusan dan amalan demokrasi dalam parti tersebut dengan mendedahkan senarai 2,756 pengundi yang mengambil bahagian dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Bekas Setiausaha Organi­sasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, DAP perlu tampil mendedahkan senarai 2,576 perwakilan daripada parti tersebut bagi membuktikan mereka benar-benar telus dalam me­laksanakan kedua-dua pemilihan CEC pada tahun 2012 dan 2013.

Jelasnya, ini bagi membuktikan tiada sebarang konspirasi mahupun penipuan dalam proses­ pengundian bagi memilih senarai jawatankuasa dan me­nunjukkan amalan demokrasi masih lagi hidup dalam parti tersebut.

“Kenapa perlu takut untuk dedahkan senarai nama tersebut jika mereka benar-benar mengendalikan pemilihan tersebut mengikut lunas undang-undang tanpa wujudnya elemen penyelewengan?

“Adakah mereka mempunyai pengundi hantu sewaktu pemilihan dilaksanakan bagi memboleh­kan jawatankuasa mengikut aturan yang telah ditetapkan lebih awal oleh penasihat parti tersebut, Lim Kit Siang,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan penganalisis politik, Raja Sara Petra yang mencabar DAP mendedahkan nama perwakilan parti sewaktu mengundi CEC pada tahun 2012 dan 2013.

Gesaan tersebut berikutan semasa pemilihan CEC DAP tahun 2012, terdapat 2756 perwakilan dari 865 cawangan telah membuat undian manakala pada pemilihan tahun 2013, terdapat 1576 perwa­kilan dari 985 buah cawangan.

Sementara itu, bekas Pengerusi DAP Cawangan Pantai Sepang, R. Vellasamy berkata, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Go­bind Singh Deo seharusnya bersikap lebih profesional memandang­kan beliau merupakan seorang pengamal undang-undang dan sepatutnya memahami tuntutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)

“Bukan itu sahaja, mereka juga digesa untuk mendedahkan nama tersebut kepada awam de­ngan kadar segera bagi menjelaskan adakah pemilihan CEC tersebut dilakukan secara adil,

“Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera, apa yang diminta hanya senarai nama perwakilan dan cawangan mana yang terlibat dalam melakukan pengundian CEC pada tahun 2012 dan 2013, saya rasakan itu bukan perkara yang besar melainkan mereka ada menyembunyikan sesuatu,” jelasnya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top