.... Jika Menang PRU14, DAP Akan Laksanakan Undang-undang Berunsur Islam Di Kelantan? | AAKJ





Adakah DAP redha undang-undang berunsur Islam terus dilaksanakan di Kelantan jika Pakatan Harapan memenangi negeri itu pada pilihan raya umum akan datang, soal Naib Presiden PAS Idris Ahmad hari ini.

“Adakah apabila PH menang di Kelantan mereka akan kekalkan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015). Adakah semua syiar Islam dan program yang berciri Islam akan dikekalkan,” kata Idris di Harakahdaily, dan menambah rakyat Kelantan hendak tahu pendirian DAP mengenai kelangsungan undang-undang dan peraturan tersebut.

“Enakmen inilah yang menjadi pertikaian hebat ketika PAS bersama Pakatan Rakyat,” kata Idris, mengimbau pertelagahan antara PAS dan DAP dalam pakatan pembangkang yang kini terkubur.

“Pemimpin DAP menentang kuat, walau pun (bekas menteri besar) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat keras mempertahan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di satu program partinya di Kota Bharu mencadangkan naib presiden Amanah dan veteran politik Kelantan Datuk Husam Musa sebagai menteri besar jika PH menawan negeri itu pada PRU-14 nanti.

Amanah ditubuhkan bekas pemimpin veteran PAS yang tewas dalam pemilihan parti 2015. Mereka membentuk Pakatan Harapan bersama DAP, PKR dan PPBM.

Idris melihat pengumuman itu sebagai isyarat DAP dan sekutunya bersungguh mahu menawan Kelantan, yang ditadbir PAS sejak memenangi negeri itu pada pilihan raya umum 1990.

“Sahlah memang DAP merupakan ‘abang long’ di dalam PH,” kata Idris. “Walaupun DAP tidak menjadi perdana menteri tetapi hala tuju kepimpinan akan disusun oleh DAP apabila PH menang nanti.”

PAS memperkenalkan tafsiran undang-undang Islam mereka di Kelantan, seperti berpakaian menutup aurat dalam peraturan kelulusan lesen perniagaan, pengasingan jantina di konsert, pawagam dan kaunter pasar raya, larangan poster model tidak menutup aurat, larangan pendandan wanita memotong rambut pelanggan lelaki dan sebaliknya, dan terbaharu, mewajibkan peniaga pasar malam berhenti berniaga ketika masuk waktu solat Maghrib.

Idris ingin tahu adakah DAP dan Pakatan Harapan akan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan berunsur Islam di Kelantan nanti.

“Apakah nasib Kelantan sama seperti Terengganu selepas Umno menang pada tahun 2004 sehingga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 disimpan begitu sahaja?”

- Bicara News


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top