.... Jangan ‘Terlepas Pandang’ | AAKJ





SESEKALI bercakap dengan orang lama yang begitu kaya pengalamannya seperti Tan Sri Dr. Rais Yatim, 74, boleh terbuka luas minda sesiapa untuk memikirkannya.

Demikian juga mengamati cabaran politik semasa tanah air dengan sekarang ini agak lain macam rentaknya, maka Rais yang pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri menarik perhatian wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL mengenai perlunya kepekaan terhadap isu besar tertentu. 

Ini katanya barangkali agak ‘terlepas pandang’ yang perlu diperingatkan semula kepada pihak berkenaan.

Adakah suasana politik semasa memihak kepada kerajaan?

RAIS: Nampaknya peningkatan graf ekonomi negara agak naik. Tetapi itu di paras rasio­nal, oleh itu perlu difikirkan ke aras mikro. Contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta imbuhan-imbuhan lain yang perlu difikirkan untuk manfaat rakyat.

Dalam aspek ini, lambang, perkhid­matan serta budi 1Malaysia mesti dihidupkan kembali. Sekarang 1Malaysia seolah-olah nampak ‘di tepian’ sedangkan ini suatu bahtera perjuangan yang menguntungkan kerajaan. Jadi, perhebatkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang kelihatannya seperti ‘hidup segan mati tak mahu’.

Program BR1M bermanfaatkah kepada rakyat?

RAIS: Ya berbaloi. Cuma peng­agihan BR1M mestilah dinilai balik supaya setiap orang menerimanya daripada wakil rakyat. Sekarang ini terus masuk akaun bank. Macam pemberian kebajikan pula. Jadi, Barisan Nasional (BN) mesti pastikan supaya para pemimpinnya sendiri sampaikan bantuan ini.

Tak apa, biar lewat sikit untuk berikan kepada rakyat yang sah menerimanya. Sebab inilah yang dipraktikkan pembangkang. Contohnya di Sekinchan, wakil rakyatnya sendiri yang sampaikan bantuan beras dan gula dari rumah ke rumah. Di Selangor juga, jemaah haji yang diberi bantuan RM500 perlu mengambil sendiri bantuan itu dan diambil gambar.

Faktor Tun Dr. Mahathir Mohamad diambil kirakah dalam persaingan pilihan raya umum ke-14 nanti?

RAIS: Faktor Dr. Mahathir tidak boleh dipandang remeh. Soal kekuasaan BN selepas PRU-14 pada amnya memang tidak lari daripada kemungkinan me­nang. Sebabnya menerusi kawasan-kawasan tradisional BN khasnya di kampung dan kawasan Felda tidak begitu terencat survivalnya.

Namun dengan adanya krisis FGV, pentadbiran serta kerugian teruk syarikat Felda baru-baru ini, isu dalam Felda tidak boleh diambil ringan seperti biasa. Pemerhatian di 54 kawasan Parlimen dalam Felda mesti dibuat proses cerakin iaitu analisis atau peratusnya.

Isu generasi penduduk kedua di Felda isu berat. Tidak boleh hanya selepas diumumkan buat perumahan generasi kedua, maka hanya segelintir rumah siap. Ini isu besar. Isu-isu berkaitan Felda di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan mesti diambil serius dan diselesaikan secara objektif.

Pada jangkaan Tan Sri ‘apa’ yang mungkin difikirkan Dr. Mahathir waktu ini?

RAIS: Hal-hal sekarang yang tak dapat kita dalami lagi ialah tentang peranan Dr. Mahathir dengan sekutunya dan mereka sedang susun strategi untuk serlahkan kelemahan di bahagian 1MDB, sebelum pergi ke isu-isu berat lain.

Antaranya berkaitan Felda, harga barang dan dengan tampak sekarang kemunduran membawa kepada isu-isu kedaulatan bahasa serta gah bahasa Melayu. Maka dengan ini pemegang kuasa mesti jangan terumbang-ambing menanganinya. Ini mesti ditonjolkan.

Mengenai dakwaan isu 1MDB, pada hemat saya ia sudah dipolitikkan, maka tak boleh kita sekadar sebut isu ini sudah selesai.

Tarikh PRU-14 yang sesuai, tahun ini atau tahun depan?

RAIS: Sebelum bulan 10 (Oktober 2017). Ini perkiraan objektif sebab selepas itu elemen ekonomi dan politik antarabangsa tak dapat kita tentukan. Paras pencapaian Malaysia mungkin akan diperkotak-katikkan oleh pihak terbabit.

Isu saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat walaupun ramai kata ini mainan kuasa besar itu, tak boleh disebut begitu. Mesti diadakan landasan huraian daripada BN misalnya penjelasan yang objektif supaya mudah orang faham.

Untuk BN meraih kembali majoriti dua pertiga agak sukar tetapi menang biasa boleh dicapai sekiranya pilihan raya diadakan tidak begitu lewat.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top