.... Husam Calon MB Kelantan, PAN Kata DAP Tidak Terlibat | AAKJ





DAP tidak merujuk kepemimpinan Parti Amanah Negara apabila menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub, berkata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, tidak pernah bersuara atau membangkitkan isu calon Menteri Besar Kelantan dengan kepemimpinan parti itu.

“Kit Siang tidak pernah berbincang dengan kami (isu Menteri Besar Kelantan), malah isu itu juga belum pernah dibincangkan dalam kalangan kami (pemimpin Parti Amanah Negara), kita hanya bincang mengenai isu rakyat untuk memastikan kemenangan parti.

“Kit Siang hanya bercakap isu siapa calon Menteri Besar Kelantan dalam ceramahnya,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Kit Siang baru-baru ini yang mencadangkan Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Salor sebagai Menteri Besar Kelantan. Dalam ceramahnya, Kit Siang dilaporkan berkata, beliau yakin Husam boleh menjadi teladan baik untuk rakyat Kelantan dan seluruh negara.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata cadangan menamakan Husam hanyalah satu pandangan peribadi Kit Siang dan Parti Amanah Negara tidak terikat dengan pandangan itu.

Ditanya sama ada Husam layak memegang jawatan itu, beliau berkata rakyat akan menilai siapa yang lebih layak, malah parti mempunyai ramai pemimpin yang layak untuk berada di kedudukan itu.

“Ramai yang layak, kita ada satu kumpulan kepemimpinan hari ini…yang penting kita tidak menonjolkan diri, kita bekerja untuk rakyat. “Biar rakyat menilai, rakyat bukan bodoh untuk menilai siapa yang paling layak, kita buat kerja hari ini dan tunjukkan kewibawaan, esok jika diberikan kemenangan itu terpulang pada rakyat. “Apabila sampai masanya nanti, kita akan tonjolkan siapa paling layak mentadbir negara dan negeri,” katanya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top