.... Hapus Dahulu Cukai Katil Di P.Pinang | AAKJ





Pemimpin pembangkang yang lantang mem­bantah pelaksanaan cukai pelancongan oleh Kementerian Pelanco­ngan dan Kebudayaan mungkin terlupa Pulau Pinang lebih awal me­laksanakan cukai ke atas setiap katil hotel di ne­geri tersebut kepada para pelancong.

Timbalan Menteri Pe­lancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jika ingin membantah, pihak pembangkang perlu terlebih dahulu memansuhkan cukai katil tersebut kerana ia jelas membebankan berbanding cukai pelancongan yang belum pun dilaksanakan .

“Mereka sewajarnya memansuhkan terlebih dahulu cukai katil memandangkan cukai pelancongan yang berkuatkuasa 1 Ogos depan dijangka memberi lebih manfaat serta merancakkan sektor pe­lancongan negara,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Puteri UMNO berkata demikian ketika mengulas ke­nyataan Ke­tua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mencadangkan Akta Cukai Pelancongan dimansuhkan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu di Padang Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Ne­geri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ke­tua Menteri, Datuk Seri Idris Haron serta isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Ne­geri, Datuk Othman Muhamad.

Mas Ermieyati berkata, pembangkang juga nampak tidak sehaluan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenakan cukai katil terhadap setiap pelancong yang bermalam di negeri berkenaan sedangkan beliau antara individu paling lantang membantah cukai warisan yang diperkenalkan di Melaka suatu masa dahulu.

“Dia (Wan Azizah) nak cakap tentang cukai, tapi Lim Guan Eng sewaktu kerajaan Melaka buat cukai warisan dahulu, dia antara paling ketara bersuara namun bila dia memerintah, dia pula buat cukai setiap katil di Pulau Pinang.

“Apa yang kerajaan lakukan ini adalah untuk membantu industri pelancongan supaya boleh bagi pulangan semula kepada sektor itu agar industri ini boleh bersaing dan setanding negara lain," ujarnya.


-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top