.... Hanya Hotel 4 Bintang Ke Atas Akan Dikenakan Cukai Pelancongan | AAKJ





Isu cukai pelancongan yang sebelum ini ‘panas’ kini makin lega ekoran pengumuman terbaharu oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Apa yang pasti, golongan bawahan tidak perlu risau lagi kerana cukai berkenaan yang bakal mula dilaksanakan secara rasmi 1 Ogos nanti hanya dikenakan kepada mereka menginap di hotel bertaraf empat bintang dan ke atas.

Manakala hotel berstatus tiga bintang ke bawah termasuk bajet, malahan dikecualikan langsung daripada cukai baharu itu yang mengenakan kadar bayaran dari serendah RM2.50 hingga RM20 untuk satu bilik.

Beliau ketika memberitahu sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam berkata, kelonggaran itu menunjukkan pertimbangan pihak kerajaan terhadap golongan kurang kemampuan selain menggalakkan pelancongan domestik.

Malahan Mohamed Nazri menjelaskan, pelaksanaannya turut ditangguhkan daripada tarikh asalnya 1 Julai kepada 1 Ogos depan untuk membolehkan semua pihak berkaitan dapat melakukan persediaan secara menyeluruh.

Serentak dengan itu ujarnya, pengecualian cukai berkenaan juga diberikan kepada pelancong asing yang sudah membuat tempahan penginapan dengan ejen pelancongan di negara ini untuk tempoh sehingga 31 Mac 2018.

“Selepas 31 Mac tahun depan, semua pelancong warga asing yang didapati melakukan penempahan penginapan dengan mana-mana ejen untuk tinggal di hotel negara ini akan dikenakan dengan Cukai Pelancongan.

“Langkah ini malahan tidak akan menjejaskan jumlah kemasukan pelancong luar ke Malaysia, kerana kadar cukai yang dikenakan adalah kecil bagi mereka dan mampu dibayar oleh golongan ini,” kata Mohamed Nazri.

Baru-baru ini media antikerajaan melaporkan kira-kira 3,000 pelancong China membatalkan tempahan ke Malaysia konon akibat pelaksanaan cukai itu meskipun ia telah lama dilaksanakan di Pulau Pinang yang ditadbir pihak pembangkang.

Kontroversi timbul baru-baru ini berikutan langkah tegas kerajaan Sarawak membantah perlaksanaan cukai itu. Bagaimanapun isu itu sudah selesai dan pihak berkuasa Sarawak turut bersetuju untuk melaksanakannya.

Mohamed Nazri menjelaskan kutipan cukai itu akan diguna untuk tujuan promosi industri pelancongan domestik dengan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top