.... Dr MAZA Antara Rujukan Kami – G25 | AAKJ





Mufti Perlis merupakan antara rujukan kumpulan G25, demikian menurut Datuk Faridah Khalid dalam temuramahnya dengan akhbar The Star semalam. Pengasas bersama kumpulan Melayu ulung G25 itu mendedahkan bahawa beliau mengenali Mufti Perlis itu menerusi salah seorang saudaranya kerana mereka adalah teman rapat, dan beliau bertindak sebagai penghubung di antara G25 dan Dr Asri serta kumpulannya. 

“Asri ialah salah seorang dari mereka yang kami boleh rujuk sekiranya kami hadapi sebarang masalah.” Datuk Faridah Khalid dijemput oleh Datuk Noor Farida Ariffin pada Disember 2014 untuk membantu membentuk G25 sebagai perjuangan untuk menyemak semula undang-undang syariah ini dengan tujuan meminda atau memansuhkan mana-mana undang yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Akan tetapi, kumpulan G25 mendapat tentangan yang amat hebat dari kalangan umat Islam Malaysia, “Saya telah dituduh sebagai anti-syariah dan anti-Islam.” Yang terkini, buku mereka yang berjudul Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Buku G25 yang diharamkan kerana menyentuh tentang kedudukan Islam dalam perlembagaan dan dilihat sebagai boleh memudaratkan ketenteraman awam itu memuatkan pelbagai esei yang ditulis oleh Dr Maszlee Malik, Dr Syed Farid Alatas, Lim Heng Seng, Farouk Peru dan lain-lain lagi. 

“Apa yang G25 lakukan semuanya adalah untuk membawa kembali keamanan dan penyatuan,” kata beliau. “Kita patut beri ruang untuk berinteraksi dengan orang-orang dari pelbagai kaum dan agama yang berlainan. Kita boleh untuk tidak bersetuju tetapi kita boleh tidak bersetuju secara baik, secara diplomatik.” Sewaktu G25 ditubuhkan, umat Islam dikatakan telah memberi maklum balas yang amat negatif kepada kaum bukan Islam sewaktu mereka cuba untuk mencampuri urusan agama Islam.

Beliau berkata umat Islam ada yang berkata seperti, “Jika kamu bukan orang Islam jangan campur tangan,” dan yang terbaru ada yang sampai berkata, “Jika kamu mahu komen, peluk Islam terlebih dahulu.” G25 menekankan keindahan dan keadilan dalam Islam, “Dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam ucapannya kepada G25 menekankan bahawa kita mestilah jangan melakukan kezaliman terhadap orang bukan Islam.” Kini G25 sedang berusaha untuk membawa masuk penceramah-penceramah Muslim progresif Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah dari Indonesia.

- Menara.my

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top